Pages

Friday, August 4, 2017

BAB 7: Sahabat?



Ujian bukan melemahkan, ia menguatkan.
Ujian bukan menjauhkan, ia mendekatkan.
Ujian mulanya kekecewaan, akhirnya adalah senyuman.

Besarnya pahala seseuai dengan besarnya ujian dan cubaan. Sesungguhnya Allah SWT bila menyenangi suatu kaum Allah menguji mereka. Barangsiapa bersabar maka baginya manfaat kesabarannnya dan barangsiapa murka maka baginya murka Allah. (HR Tirmidzi)

Tersenyumlah andai ujian datang menyapa, kerana itu tanda Allah masih peduli dengan kita.

Humaira menutup buku yang dibaca. Terasa hangat cecair yang mengalir di pipinya. Rindunya Humaira pada Kak Intan. Jika dia masih ada, pasti Humaira akan meminta nasihat daripadanya. Kata- kata hikmah yang meniti di bibir arwah sentiasa meresap ke dalam jiwa.

Humaira mengesat air mata lantas memandang di luar tingkap. Terbentang luas sawah padi di kampungnya. Awan pula bergerak seolah- olah seiring dengannya. Subhanallah, cantik! Lama sungguh dia tidak menjenguk di situ. Peperiksaan sudah berakhir, maka statusnya bergelar alumni pun bermula. Kakak dan abang ipar yang mengambilnya di kolej. Dan kini, dia sedang menuju ke rumah teres milik Hj. Zainuddin.

‘Tak sabarnya nak bermain dengan Arisya’

Nakalanya, celotehnya.. benar- benar membuatkan Humaira rindu pada anak buahnya. Humaira lalu tersenyum mengingatkan anak kecil yang tiada dosa itu. Moga si Arisya dapat menghiburkan sedikit hatinya yang sedang bersedih.


*******


Cadar ditukar, barang- barang disusun. Humaira bertungkus lumus membantu ibu mengemas rumahnya. Sebentar lagi ada seseorang yang datang, seseorang yang istimewa! Sudah pasti dia akan menyambut tetamu itu dengan persiapan yang terbaik.

Balqis dan yusra.

Disebabkan Humaira pun sudah tamatkan pelajarannya, jadi dia mengajak mereka untuk menginap dia rumahnya. Kebetulan di kawasan rumah Humaira ada program yang bakal dijalankan. Program mahabbah bersama anak- anak yatim. Alangkah terujanya Humaira untuk bertemu kembali sahabat- sahabatnya itu di samping mengeratkan silaturrahim.

“Assalamualaikum..”

Kedengaran orang memberi salam dari luar.

‘Eh, takkan dah sampai?’

Humaira menjengukkan kepalanya dari tingkap. Dia hairan. Sepatutnya Balqis dan Yusra tiba di kampungnya malam ini.

Ternyata sangkaannya silap.

“Abang iman..?? Eh abang? Bila sampai?”

Dia terkejut melihat akan abangnya yang belajar di Mesir itu. Ummi kata abang akan balik raya, tapi mengapa awal pula? Mungkin abang ada memaklumkan pada ummi semula, tetapi dia yang tidak mengambil tahu. Tidak mengapalah, yang penting hatinya terubat tatkala bersua dengan abang kandungnya yang sudah hampir setahun tidak berjumpa.

“Masuklah abang. Ummi ada di dapur”

Humaira segera menyalam tangannya. Sesekali dia menatap wajah tenang abang iman, sejuk sungguh. Mungkin cahaya hafalan 30 juzuknya memantulkan sinar yang sesiapa pun terpukau. Metafora sungguh. Humaira tergelak sendiri.

Dia lantas menyambung kerjanya menyapu sampah. Banyak lagi yang perlu diselesaikan.

Balqis, Yusra. Entum bila lagi?


*******


Mereka bertiga berjalan di tepi sawah padi. Terasa aman suasana pada petang itu. Balqis dan Yusra begitu teruja. Maklumlah, mereka berdua berasal dari bandar. Sukar sekali bagi mereka untuk bertemu pemandangan indah yang hanya ada di kampung ini.

Setelah penat berjalan, lalu Humaira, Balqis dan Yusra pun melepaskan lelah di satu pondok yang berhampiran dengan kedai makan. Tidak lah begitu jauh kerana mereka masih dapat menikmati sawah padi.

“Kak Humaira, bagi lah pengisian. Kami dahagakan nasihat dari akak”

Balqis membuat permintaan. Yang anehnya, mengapa dia memanggil Humaira ‘kak’? Setahu Humaira, mereka sebaya. Yang muda di situ hanyalah Yusra. Nakalnya tak habis- habis. Yusra hanya mampu gelak melihat mereka berdua. Sudah 22 pun perangai masih sebegini.

“Ok in shaa Allah. Kita mulakan dengan ummul kitab al- Fatihah”

Humaira memulakan usrah dengan bacaan Fatihah. Sungguh, bagi mereka, di mana- mana sahaja pun bulatan kecil boleh dibuat. Di taman, kedai kopi, sawah padi pun boleh. Bukan hanya di surau- surau atau masjid sahaja. Yang penting nasihat itu dapat disampaikan.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-‘Asr: ayat 1-3)

Humaira meneguk air sedikit sebelum memulakan bicara. Sesekali dia berdehem membetulkan anak tekak. Lalu dia memulakan pengisian yang pernah diberi oleh arwah Kak Intan sewaktu dia masih hidup.

Ukhuwah adalah cinta yg mengalir melalui keimanan…
Menguatkan, menjaga, memperbaiki, memberi, menghilangkan kelalaian & saling mengingatkan...
Ukhuwah adalah telaga bagi batin yg merindukan kesejatian cinta, tempat jiwa berlabuh untuk saling menguatkan, memberi & berbagi…
Didalamnya ada lantunan syahdu ketulusan untuk sahabat…

Ukhuwah itu seutuhnya tentang rindu, yang membuat selalu tak sabar untuk bertemu, membuat merasa rugi jika tak berbagi, ini adalah tentang hati yang terikat, tentang do'a-do'a yang saling bertaut, ia adalah tulus yang menjelma, ia terasa rumit tuk diungkap namun nyata dalam kata sederhana, ia dalam tuk diselami karena ia adalah Iman yang berupa Makna...

Biarkan ia tumbuh seperti benih yang tersemai dan bunga-bunga yang bermekaran, bukan sekedar bahagia tetapi bersama meraih syurga...

Manisnya cinta Allah SWT mampu menyembuhkan luka, melegakan dahaga, menghapus air mata, & menjanjikan pahala...

Ukhuwah ibarat satu janji yang dibuat dalam hati
Tak dapat dipisahkan oleh jarak
Tak akan pudar oleh waktu
Sedetik di mata selamanya di jiwa

“Semoga Allah senantiasa mengikat hati-hati kita, saling mendo'akan dan memberikan semangat”

Humaira mengakhiri kata- katanya dengan puisi yang dipetik dari internet serta doa.

Anak- anak kecil sedang bermain pelepah kelapa. Seronok melihatnya. Tidak semena pandangan Humaira, Balqis dan Humaira beralih pada mereka.

"Nanti kita melawat pusara arwah boleh tak" Balqis bersuara. Matanya masih memerhati anak- anak yang sedang bahagia dan tidak mengetahui erti kehidupan yang bakal dihadapi mereka.

"Sudah pasti. In shaa Allah" Balas Humaira.

Baginya, biar lah terpisah jauh sekalipun, namun ikatan sentiasa terikat kemas di hati. Hanya doa yang mampu menjadi penghubung buat insan- insan yang bersahabat kerana agama.

Salam ukhuwah buatmu juga, arwah Nur Intan Nasuha. Moga sentiasa tenang di sana.


*******



-          TAMAT -

Thanks ♥

BAB 6: Uhibbuki fillah



Balqis membaca nota subjek Kimia dengan tekun. Esok Madam Shiha akan buat ujian. Dia membacanya berulang kali, namun hampa. Satu pun tidak masuk. Fikirannya benar- benar kusut. Humaira tiada, Zaid pula buat hal. Baru tadi dia berbalas mesej dengan Zaid. Ah, dia ingin memutuskan hubungan. Tetapi mengapa Zaid tidak memahaminya?

“Maaf, saya rasa lebih baik jika kita fokus pada yang sepatutnya. Lupakan semua. Assalamualaikum”

Ringkas sahaja pesanan terakhir Balqis. Dia sudah tekad untuk meninggalkannya. Zaid memujuknya berkali- kali. Sebanyak 11 missed call yang Balqis terima daripada orang yang sama. Biar pun terpaksa menadah air mata kerana terluka, dia tetap bertegas dengan keputusannya.

Balqis ingin kembali seperti dulu. Dia sedar akan kesilapannya. Lalu Balqis pantas mengambil wudhuk dan menunaikan solat sunat. Dia tidak mahu keserabutan melanda jiwanya. Dia benar- benar mahukan ketenangan. Ketenangan yang hanya dapat dicapai ketika bersama Tuhan. Malam itu dia banyak menghabiskan masa di atas tikar sejadah. Segala luahan dicurahkan pada Rabb. Hanya Allah sahaja memahami keperitan dan kepedihan hatinya.

Setelah selesai bermunajat dan membaca al- Quran yang menjadi penemannya, secara tiba dia teringat akan seseorang yang dia rindui.

‘Humaira, kau masih mahu terima aku sebagai sahabat?’



*******


 “Makcik, saya nak satu ya. Sambal lebih”

Nasi ayam penyet.

Humaira memesan dengan makcik yang berniaga di kedai tersebut. Sudah lama dia tidak menjamahnya. Masakan tidak, bukan selalu Humaira ke pasar rabu. Jika dihitung, sekali sebulan sahaja agaknya.

Humaira memerhati makcik yang cekap membungkus makanan itu. Diletakkan nasi, ayam dan tauhu goreng. Kemudian sup dituangkan ke dalam plastik dan diikat dengan kemas. Humaira menelan air liur. Nampak sedap.

Sewaktu Humaira terpandang wajah makcik itu, secara spontan dia teringat akan Balqis. Muka makcik itu benar- benar seperti sahabatnya. Bertudung labuh dan manis senyumannya.

‘Eh boleh pula aku samakan Balqis dengan makcik ini’ kata Humaira pada dirinya sendiri. Namun apa pun, dia betul betul rindu kan gadis itu.

“Ni dia nak. Rm5 sekali dengan air”

Humaira ingin mengambil dompet dari dalam beg untuk membayarnya. Secara tiba keringatnya mengalir. Bukan kerana cuaca panas, tetapi kerana dia terlalu cuak. Baru Humaira sedar yang dia tidak membawa dompet dari pagi lagi.

‘Ya Allah! Aku tertinggal dalam laci meja bilik’

Cuainya Humaira pada hari itu. Dia tidak tahu di mana hendak disorokkan muka. Hendak cancel makanannya, terasa seperti tidak beradab. Sudah lah meminta sambal lebih. Dia menepuk dahinya sendiri. Sedang asyik Humaira mencari- cari duit di dalam begnya jika ada duit yang dibawa, tiba- tiba seseorang telah membayarkan untuknya. Orang itu menghulur sekeping duit pada makcik nasi ayam penyet.

Humaira terkejut lalu memandang wajah yang sanggup membantunya. Dia senyum. Tidak pasti senyum kerana gembira atau terharu. Baru tadi dia menyebut namanya.

“Balqis!”

Balqis memandang anak matanya dengan senyuman manis.

“Aku belanja. Kau memang tak berubah. Suka sangat pedas”

“Ya Allah, qis.. kau dari mana? Kenapa lama tak balik bilik? Kau tidur bilik siapa? Kau marah aku lagi ke?”

Bertalu- talu soalan yang diberikan Humaira. Dia memang lama menantikan sahabatnya untuk berbaik semula. Tidak sanggup untuk berjauhan lagi. Sebelum ini ada dia menghantar mesej dan membuat panggilan untuk meminta maaf. Namun Balqis tidak melayannya. Ego menguasai Balqis ketika itu.

Kini Balqis mula berlapang dada. Dia sudah terima dengan hakikat kesalahan dirinya.
“Humaira aku minta maaf. Aku tahu yang aku..”

“Sudah, benda dah lepas. Aku dah lama maafkan. Jom makan dulu. Kita pergi masjid nak nanti? Malam ni ada kuliah dari ceramah jemputan”

Balqis tersenyum. Entah senyum yang ke berapa. Humaira memang seorang yang pemaaf. Mudah sahaja dia memaafkan kesilapannya walaupun disakiti sebelum ini.

Humaira, uhibbuki fillah.

Dalam persahabatan, ego tidak diperlukan.
Buang lah sejauh- jauhnya, agar ikatan ukhuwah tetap akan terjalin sehingga akhirnya.



*******



Humaira dan Balqis mengambil tempat di bahagian muslimat. Minggu ini minggu terakhir kuliah. Selepas ini mereka akan mula menghadapi peperiksaan besar dalam sem tersebut. Memang sengaja mereka berdua meluangkan waktu di sini. Bukan kerana tiada kerja, tetapi bagi mereka, masa itu hak Allah.

Ummi pernah berpesan, seseorang pelajar muslim harus bijak mengagihkan masa untuk akademik dan agama. Kedua- duanya haruslah seimbang.

Setelah 5 minit menunggu, ceramah pun bermula.

“Perjuangan bukanlah satu jalan yang mudah. Ianya memerlukan kesabaran yang tinggi untuk terus istiqmah di jalan Allah.

Kesabaran di atas jalan yang jelas sekalipun panjang dan sukar adalah lebih mulia dari berada di jalan yang mudah tetapi dipenuhi kesamaran, kepura- puraan dan kebatilan”

Ustaz Rashid memberikan muqadimmah. Lalu diteruskan dengan mencurahkan ilmu sehingga habis. Tekun Humaira dan Balqis mendengarnya. Mereka begitu tertarik dengan tajuk yang disampaikan pada malam itu.

Dakwah dan perjuangan. Humaira masih belum memahami sepenuhnya. Meskipun arwah Kak Intan pernah beberapa kali menjelaskan tentang apa ertinya berjuang.

Arwah Kak Intan, baru Humaira teringat. Dia masih belum memberitahu Balqis perihal itu. Alangkah sedihnya jika Balqis mengetahuinya. Dia juga masih merindui arwah. Bukan mudah untuk kita melupakan seseorang yang kita rapat dengan mudah. Bertabahlah, Balqis.

Allah mengetahui yang terbaik untuk kita. Sepertimana firman Allah SWT:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" (Al- Baqarah: ayat 216)


*******


Humaira buntu memikirkan cara untuk memberitahu Balqis. Sudah berapa kali dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sesekali dia memuji Tuhan sambil memandang bulan. Angin pada malam itu sungguh menenangkan dirinya dan Balqis.

“Cantik bukan ciptaan Allah” Humaira memulakan langkah.

“Iya. Tetiba aku rindu lah pada Kak Intan. Boleh temankan aku jumpa dia nanti?”

Humaira sebak. Puas dia menyusun kata agar Balqis dapat menerimanya dengan redha. Humaira mengalih perbualan. Patut ke dia memberitahunya sekarang?

“Balqis, kalau ada orang yang meminjamkan kau barang. Kau akan pulang tak?”

Balqis kehairanan. Soalan yang diajukan Humaira seperti tidak masuk akal.

“Mestilah. Mana boleh pegang lama- lama. Hak orang lain. Kenapa?"

Humaira diam.

“Rasanya aku takde pinjam barang kau ataupun Kak Intan” Balqis memecahkan kesunyian. Dia sungguh keliru dengan Humaira yang suka berteka- teki itu. Humaira tidak memberikan jawapan. Malah semakin dia bertanya, semakin banyak pula soalan yang dia terima.

“Tapi kau pinjam Kak Intan dari Allah. Allah yang menghadiahkan insan baik sebegitu buat kita”

“Betul tu. Aku bersyukur sangat- sangat sebab dapat kenal dengan Kak Intan. Dia terlalu baik”

“Kau redha tak kalau Allah mengambilnya semula?”

Otak Balqis seolah- olah dapat menangkap apa yang ingin disampaikan Humaira.

“Jangan cakap…”

“Aku harap kau terima seadanya. Aku juga sedih waktu mula- mula Yusra bagitahu tentang arwah. Kak Intan dah takde dua hari yang lepas. Aku minta maaf kerana lewat bagitahu. Maafkan aku Qis. Aku harap kau sabar”

Humaira menceritakan segalanya. Secara tidak semena air mata Balqis mengalir. Ya Allah.. dugaan apa lagi. Dua insan yang disayanginya terpaksa dia lepaskan.

Jika setakat Zaid, dia boleh terima lagi. Tetapi Kak Intan? Dia benar- benar sayangkannya. Kak Intan lah yang mula mengajaknya menyertai usrah. Lututnya terasa lemah. Dia berhenti dan duduk di bangku tepi jalan. Hanya menangis sahaja yang dia mampu lakukan ketika itu. Tidak sempat untuk dia meminta maaf atas kelakuannya sebelum ini.

‘Tapi kenapa’

Humaira menenangkannya.

“Tiada apa yang terjadi tanpa hikmah. Semuanya bersebab. Cuma kita yang tidak tahu. Bersangka baik lah pada Allah. Kita doakan arwah tenang di sana. Al- fatihah”

Malam yang sejuk dan dingin. Diiringi dengan tangisan. Diakhiri dengan kalimah indah. Allah sahaja menjadi saksi kesedihan mereka. Humaira memeluk Balqis dengan erat agar cas cas positif mengalir ke dalam badannya.



*******

Thanks ♥

BAB 5: Pergi



'Orang yang paling bahagia bukanlah yang memiliki segalanya, tetapi yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada’

Noktah. Humaira menaik muat status di Facebook. Dia begitu gembira sejak sehari yang lepas. Ummi menelefonnya lalu memberitahu bahawa walid berada dalam kondisi yang baik dan stabil. Alhamdulillah, syukur! Humaira berjanji akan pulang ke kampung halamannya study week nanti. Rindunya pada wajah ummi dan walid tidak mampu diungkapkan. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Dia memandang katil Balqis. Sudah tiga hari dia tidak tidur di sini. Humaira tidak sangka Balqis akan merajuk dengannya sebegitu lama. Apa salah Humaira agaknya. Dia cuma ingin menegur, bukannya ingin mendakwa dirinya solehah. Mungkin caranya yang salah kerana terlalu cepat menghukum.

“Ya Allah.. Balqis”

Humaira benar- benar sedih akan sikapnya yang jauh berubah. Dia risau akan perselisihan faham yang lama itu. Sungguh licik syaitan. Memang benarlah, musuh- musuh Islam tidak akan pernah berhenti untuk memecahkan umat nabi Muhammad. Baru semalam Humaira menghadiri majlis ilmu di masjid kampus. Kebetulan penceramah ketika itu membuka tajuk ‘persaudaraan’. Dia menyampaikan sepotong hadis yang pernah didengar sebelum ini.

Rasulullah SAW bersabda,

 Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan (silaturahmi)” (HR Bukhari dan Muslim)

Entah mengapa, hadis itu itu benar- benar menyentap hatinya. Adakah Allah ingin menegurku?
Tiba- tiba pintu biliknya diketuk. Lamunannya terhenti. Kelihatan salah seorang rakan serumahnya, Sakinah berdiri di hadapan biliknya.

“Mai, ada orang cari awak”

Humaira kehairanan. Setahu Humaira, dia tidak berjanji dengan siapa pun untuk berjumpa pada hari itu. Lalu dengan pantasnya dia menuju ke pintu rumah untuk melihat siapakah gerangan yang datang mencarinya.

Alangkah terkejutnya Humaira melihat Yusra di hadapan muka pintu. Wajahnya sugul dan tidak bermaya. Matanya bengkak seperti baru sahaja selesai menangis. Kelihatan seolah ada sesuatu yang berat menimpanya.

‘Apa yang terjadi dengan mu Yusra?’


*******


Balqis memerhati keadaan sekeliling. Dia berdiri di luar dewan kuliah sambil menunggu rakan- rakan sekelasnya keluar. Setelah dewan tersebut kosong dengan pelajar, Balqis masuk kembali. Dia ingin bertemu dengan Ustazah Ainul. Ada sesuatu yang mahu ditanyakan.

“Ustazah sibuk ke?” Balqis menyapa ustazah yang berjubah hitam itu setelah memberi salam. Hanya mata sahaja yang kelihatan. Sungguh cantik berwarna coklat.

“Untuk awak free sahaja” Ustazah Ainul berjenaka. Usianya masih muda, lebih kurang 30-an usianya. Mungkin sebab itu ramai pelajar yang selesa berbual dengannya.

Balqis tersenyum tawar. Dia tidak pasti sama ada mahu gembira atau sedih.

“Duduk lah sini. Ceritakan apa masalah awak. In shaa Allah yang mana boleh bantu, ustazah akan bantu” dia menyambungnya lagi.

Lalu Balqis pun duduk di harapan Ustazah Ainul. Lama dia berdiam diri. Berat untuk dia melepaskan segalanya memandangkan hal itu boleh membuka aibnya. Namun dia percayakan Ustazah Ainul. Dia tahu ustazah pasti menjaga rahsianya dengan sebaik mungkin. Setelah bersedia, Balqis memulakan bicara.

“Ustazah, cinta itu fitrah bukan?”

Ustazah Ainul hanya diam dan memberi sepenuh perhatian terhadap pelajar kesayangannya itu.

“Salah ke kalau kita menaruh perasaan pada seseorang? Bukannya saya yang mahu, tapi ianya datang sendiri. Kita sepatutnya menggunakan fitrah, bukan menolaknya. Itu sudah melanggar fitrah yang Allah bagi”

Balqis berhenti. Dia mahu menyambung kembali, tetapi suaranya seolah- olah disekat. Dia perlukan jawapan dan hujah yang menyokong tindakannya. Ustazah Ainul kemudiannya mengajukan soalan juga padanya.

“Ya betul. Emm Balqis suka makan?”

“Mestilah! Apa ustazah ni.. lari topik”

Ustazah Ainul tergelak kecil. Dia berdiam selama seminit untuk menyusun kata. Lalu dia menyambung kembali.

“Bukan cinta sahaja fitrah, makan juga fitrah. Ustazah rasa semua dah maklum pasal ni. Fitrah, kalau digunakan secara berlebihan pasti akan mendatangkan kemudaratan. Contoh, makan. Bila terlebih makan, mula lah macam macam penyakit yang kita dapat. Obesiti, diabetes, darah tinggi. Jadi sama juga lah dengan cinta. Bila berlebihan dalam percintaan, tidak mustahil untuk kita mendapat penyakit juga. Penyakit hati, itu yang kita risaukan. Bila hati mati, nasihat pun susah untuk diterima. Seram bukan? Nauzubillah.. Moga kita dijauhkan”

Balqis tunduk. Dia masih tidak berpuas hati.

“Ustazah rasa ustazah tahu apa yang tersirat dalam hati kamu. Kamu menaruh harapan pada seseorang bukan?

Balqis, cinta ni luas. Yang dinamakan fitrah itu adalah apabila semua manusia dapat merasainya tanpa diundang. Cuma di mana cinta yang kita letakkan itu bergantung pada individu. Ada orang cintakan kedudukan, ada yang cintakan keluarga, dan ada yang cintakan harta. Semua itu tak salah, tapi kita harus bijak mengawalnya. Jangan sampai berlebihan sehingga ketepikan agama.

Cinta itu dicipta oleh-Nya, Maka selayaknya dia lah yang sepatutnya kita cintai dahulu. Nak cintakan yang lain boleh, tapi bersederhanalah. Lagipun Allah tak suka akan hamba-Nya yang mendekati zina sebagaimana yang disebut dalam al- Quran..”

“Tapi ustazah, saya tak buat apa apa pun! Saya cintakan dia kerana Allah” pintas Balqis. Dia tak suka dirinya dituduh sebegitu. Dia masih tahu jaga batas pergaulannya dengan ajnabi. Wajahnya sedikit muram.

“Maafkan ustazah.. hmm begini lah Balqis.

Selama ustazah kenal kamu, tak pernah ustazah lihat kamu buat perkara yang bertentangan. Tapi manusia ni selalu buat silap. Mendekati walau seinci pun sudah salah sebenarnya. Melihat juga salah. Kebanyakan pasangan yang bercinta adalah berpunca daripada pandangan yang tidak terjaga.

Kamu kata cinta kerana Allah? Tapi cara kamu jelas salah. Dalam Islam, matlamat tak menghalalkan cara, Qis. Sebab tu Allah mensyariatkan perkahwinan. Supaya fitrah disalurkan pada tempat yang betul. Iman kita ni senipis bawang. Peliharalah hati sebaik- baiknya.

Ustazah percaya.. kamu ni baik orangnya. Jadi seharusnya kamu menjadi qudwah hasanah buat ummah. Jangan kamu pula yang jadi fitnah pada agama. Banyak lagi yang perlu kamu fikirkan. Berjuang lah bersama rakan- rakan kamu. Jangan disebabkan cinta, kamu gadaikan persahabatan. Ketepikan sahaja yang remeh itu, syaitan memang tidak akan berhenti menghasut kita, lagi- lagi yang membawa agama.

Bertaubatlah, masih ada masa. Allah SWT sentiasa menunggu kita walau setinggi gunung pun dosa yang kita lakukan. In shaa Allah.. moga Allah lembutkan hati kamu”

Ustazah Ainul seakan tahu apa yang terjadi pada Balqis. Balqis tidak mampu mengangkat kepalanya. Dia begitu sebak. Air matanya mula mengalir. Kata- kata Ustazah Ainul benar- benar meresap ke dalam jiwanya.

Sungguh, dia rindukan Humaira.


*******


Humaira memandang Yusra di hadapannya. Masih ada air mata yang berbaki. Dia masih keliru dengan apa yang mahu disampaikan Yusra.

Sudah lah tidak menelefonnya, datang pula secara mengejut. Lama Yusra tertunduk. Hanya bunyi kipas yang jelas didengari ketika itu.

“Kak Intan..”

Yusra tidak mampu meneruskan katanya. Nafasnya tersekat- sekat menahan tangisan. Dia terlalu sedih dengan apa yang terjadi.

“Ya sayang. Kenapa dengan kak Intan?” wajahnya cemas.

“Dia…” Suaranya perlahan. Air mata pula yang semakin kuat.

“Dia kenapa?”

“Hmm dia dah tak ada…”

“Astaghfirullah.. apa yang Yusra cakap ni?”

Humaira seolah tidak percaya apa yang diungkapkan Yusra. Mana mungkin Kak Intan sudah pergi, baru empat hari yang lepas dia berjumpa dan makan bersamanya. Sewaktu itu Kak Intan banyak menasihatinya untuk terus istiqamah dalam medan dakwah. Bukan itu sahaja, banyak lagi pesanan yang diberikan kepadanya. Khabar yang dibawa Yusra benar- benar mengejutkannya.

Hati Humaira berdegup kencang, lebih kencang daripada biasa. Hujan lebat di luar seolah- olah memahami gelodak jiwanya. Patut lah Kak Intan banyak mengelakkan diri daripada berjumpanya dengan kerap.

“Maaf kak, tapi itu lah yang terjadi. Kak Intan sebenarnya ada kanser hati. Dia menyembunyikan dari semua orang, saya sendiri pun tidak tahu. Pagi tadi dia tiba- tiba diserang sakit dan dibawa ke hospital. Tak lama lepas tu, saya dapat berita dari adik Kak Intan yang dia sudah pergi buat selama- lamanya”

Yusra menghabiskan katanya dengan esakan yang lebih kuat dari tadi. Mengapa Kak Intan merahsiakan darinya? Humaira tidak mampu untuk berkata. Hanya kalimah ‘innalillahi wainna ilahi rajiun’ yang diungkap. Mereka menangis seraya berpelukan. Petang itu terasa begitu syahdu. Entah mengapa, pemergian Kak Intan begitu dirasai.

Hatinya susah untuk redha dengan pemergian orang yang dia sayang. Kak Intan banyak mengajarnya erti kehidupan. Sukar untuk menjumpai insan yang baik sepertinya. Namun, tiada siapa yang mampu melawan takdir Allah. Nyawanya diambil saat dia masih muda.

“Nanti akak tolong bagitahu Kak Balqis sekali ya”

Humaira mengangguk lalu mengesat air mata yang tidak mampu ditahan. Deras mengalir.
Kak Intan, mengapa terlalu awal?

Humaira beristighfar. Tidak patut baginya mempersoalkan perancangan Allah. Mungkin Allah lebih sayangkan dia.

Nur Intan Nasuha.

Tenanglah duhai jiwa di sana. Kami takkan pernah melupakanmu.



*******

Thanks ♥

BAB 4: La tahzan, Innallaha maana



Balqis mencari- cari sesuatu. Dibukanya almari, tidak jumpa. Begnya juga digeledah, namun tetap tidak jumpa.

‘Di mana aku letak phone aku?’ rungut Balqis.

Dia benar benar lupa kali terakhir dia meletakkan telefon bimbitnya. Hendak bertanya Humaira, dia pula sedang mandi. Tiba- tiba Balqis terdengar bunyi getaran yang kuat dari arah meja Humaira. Oh ya, baru Balqis teringat. Humaira meminjam telefon bimbitnya tadi untuk mengakses maklumat mengenai subjek fundamental of management.

‘Fuh, jumpa pun. Nyanyuknya aku’

Balqis membuka telefon bimbitnya dengan segera. Terdapat banyak notification yang diterimanya. Balqis yakin bahawa Humaira tidak akan sesekali menceroboh privasinya sesuka hati. Lagipun, whatsapp Balqis juga sudah dikunci. Dalam kebanyakan pesanan whatsapp itu, Balqis tertarik dengan satu mesej yang diterima daripada seseorang yang istimewa. Mungkin biasa bagi orang lain, tetapi tidak baginya.

‘Assalamualaikum, Balqis.

Memang benar berjumpa itu salah, berdua- duaan juga salah. Tapi percayalah, tiada niat untuk saya membawa awak ke jalan yang salah. Berikan masa untuk saya berubah menjadi yang terbaik buat awak. Dengan izin Allah, saya masih berusaha untuk halalkan hubungan kita. Doakan saya.’

Balqis membacanya berulang kali. Walaupun mesej itu ringkas dan tiada emoji, ia tetap membuatkan hatinya berbunga. Inikah cinta?

“Syahirah balqis!!” Humaira menyergah dari belakang.

Balqis terkejut dengan tindakannya itu sehingga terpelanting telefon bimbitnya. Mujur telefon itu mendarat di atas katil.

“Kau buat apa ni?! Nasib baik takde sakit jantung. Kalau tak menangis kau nanti”

“Haha. Kau tu dari tadi senyum. Ada apa- apa yang menarik ke?”

“Takde apa lah. Kau nak guna phone aku lagi tak?” Balqis cuba mengelak. Dia tidak mahu Humaira mengetahui perihal dirinya dengan lelaki itu. Sudah pasti Humaira akan kecewa dengan sikapnya yang sudah jauh berubah. Bukan ini yang Balqis mahu, cuma hatinya tidak kuat untuk melawan perasaan.

“Dah settle. Terima kasih qis. Nanti aku belanja kau aiskrim milo”

Humaira memberikan senyuman yang lebar padanya. Tiada syak wasangka yang terlihat di wajah Humaira. Dia memang langsung tidak mengetahui tentang hal itu.
Maafkan aku, Humaira.


*******


Peningnya muncul lagi. Pening yang teramat. Humaira segera menelan panadol yang dibelinya tadi. Dimulakan dengan bismillah, dia memasukkan ubat ke dalam mulut lalu meneguk air mineral dengan tenang. Walaupun tidak pulih sepenuhnya, tetapi pening kepalanya itu sedikit berkurangan daripada sebelumnya.

Humaira terpandang frame gambar yang terletak di atas meja belajarnya. Ditenung dua insan yang disayanginya dalam gambar itu. Ummi dan walid. Sihatkah mereka? Hatinya berasa tidak sedap. Dia berniat untuk call umminya pada malam nanti. Humaira berharap peningnya hilang dengan segera agar dia dapat bercakap dengan umminya dengan nada yang gembira. Dia tidak mahu ummi risau akan kesihatannya itu. Cukuplah dia yang menanggungnya sendiri.

Telefon bimbitnya tiba- tiba berbunyi. Ada panggilan masuk.

‘Kak cik’ Humaira membacanya dengan jelas. Aneh juga. Jarang sekali kakaknya itu menelefonnya. Kebiasaannya dia hanya akan mesej bertanya khabar. Humaira segera menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum..” Kedengaran suara Kak Cik dari corong telefon. Nadanya seperti sedang bersedih.

“Waalaikumussalam. Kak Cik sihat? Kenapa telefon tiba- tiba ni?”

“Alhamdulillah sihat saja. Mai sibuk ke?”

“Tak lah. Kenapa ni?”

“Kak Cik nak bagitahu sesuatu. Tapi Kak Cik harap mai tabah”

“Baiklah. Mai bersedia”


*******


Humaira mengelap air matanya yang deras mengalir. Terasa sebak di dada. Sesekali dia terpandang akan katil Balqis, dia tiada di situ. Kebetulan Balqis tidur di bilik kawannya untuk menyiapkan projek mereka buat kali terakhir sebelum dibentangkan esok.

Humaira memang perlukan kawan untuk diluahkan. Tetapi buat masa itu, dia lebih pilih untuk bersendirian. Hanya Allah yang memahami jiwanya ketika itu. Dia terlalu sedih dengan apa yang berlaku.

“Walid dikerjakan ke hospital. Petang tadi ketika walid membaca buku, tiba- tiba strokenya datang. Jadi ummi call pihak hospital minta bantuan. Keadaan walid agak kritikal sekarang. Mai doakan yang terbaik ya. Maaf kerana lambat bagitahu. Jangan risau, doktor sedang berusaha menjaga walid. Kak cik dengan ummi juga ada di sini. In shaa Allah takde apa- apa. Ummi kirim salam pada mai.”

Humaira teringat kembali pada berita yang diberitahu Kak Cik beberapa jam yang lepas. Dia berasa kesal kerana tidak berada bersama keluarganya ketika waktu kecemasan sebegini. Ingin sahaja Humaira pulang ke kampung untuk berjumpa dengan walid di hospital. Namun, situasinya di sini menghalangnya. Esok ada pembentangan yang perlu dihadapi. Humaira tidak mahu menyusahkan ahli kumpulannya jika dia tiada nanti.

Hanya Allah menjadi tempat luahan. Dia percaya, Allah tidak akan sia- siakan doa hamba-Nya.
Kata Imam as- Syafi’i,

‘Doa di saat tahajjud adalah umpama panah yang tepat mengenai sasarannya’

Humaira mengesat air matanya lalu melipat sejadah. Terbayang wajah walid di mindanya. Dia benar- benar rindukan walid. Seorang yang banyak berjasa dalam mendidik dan membesarkannya sehingga menjadi seorang perempuan yang bermaruah. Betapa luluhnya hati Humaira apabila mengetahui akan keadaan insan yang disayanginya sebegitu. Moga Allah permudahkan semua urusan walid dan keluarganya. Humaira hanya mampu berdoa.

La tahzan, innallaha maana.


*******


“Yusra nak yang mana? Akak belanja” Tanya Humaira pada insan di sebelahnya. Dia berasa bersyukur kerana ada yang menemaninya pada petang itu. Sekurang- kurangnya hatinya terubat sedikit setelah bertakung air mata semalam.

“Yusra follow akak hehe”

“Saya nak omelette daging dua”

Humaira memesan makanan itu daripada pakcik Samad. Pakcik Samad membungkusnya dengan kemas lalu dimasukkan dalam plastik. Masih panas lagi.

“Jom makan di taman sana” ajak Humaira.

Mereka berdua pun duduk di satu bangku yang terletak di satu sudut di taman tersebut. Bau omelette yang baru dibuat itu benar- benar menyelerakan Yusra. Humaira seakan tahu makanan kegemaran adiknya itu. Yusra menjamahnya dengan selera.

Pada waktu petang sebegini memang ramai mahasiswa yang keluar mengambil angin. Ada yang beriadah, ada yang berjalan- jalan. Ada juga yang menikmati hidangan petang seperti mereka. Sesekali mereka terpandang dua ekor kucing yang sedang bermanja. Kelihatan seperti pasangan yang sedang mengawan. Begitulah hebatnya sunnatullah. Bukan manusia sahaja yang diciptakan berpasang- pasangan, haiwan juga begitu.

“Akak, yusra nak tanya sesuatu. Boleh?” yusra memulakan bicara setelah menghabiskan sebungkus makanan kegemarannya.

“Boleh dik. Tafadhhali”

“Emm, akak kenal abang Zaid?”

Humaira seperti mengenali nama itu. Cuma dia tidak berapa ingat bila kali terakhir dia mendengarnya.

“Siapa tu? Akak tak kenal sangat pelajar siswa di sini”

“Saya rasa akak kenal. Dia femes juga. Sekejap, saya tunjukkan gambarnya. Kawan saya yang send gambar tu pada saya. Dia minat sungguh dengan senior Zaid tu. Apa yang hensem sangat pun saya tak tahu”

Humaira geli hati mendengar omelan Yusra tentang kawannya itu. Lucu sungguh. Kemudian, Yusra menunjukkan gambar lelaki itu pada Humaira. Dia membeliakkan mata. Ini kah Zaid? Humaira mengenalinya. Dia lah yang melanggar bahunya hari itu! Lelaki yang sopan dan kemas ini. Memang menarik rupanya. Tidak hairanlah ramai perempuan yang menaruh minat padaya. Hanya yang benar- benar menjaga mata dan hati sahaja yang akan mengatakan dia tidak menarik. Termasuk yusra, mungkin dia ingin menjaga hati atau memang dia tidak berminat dengan lelaki. Dia tidak pasti.

“Oh, boleh tahan” cuma itu sahaja yang keluar dari mulut Humaira. Walhal dia hanya pandang sekali. Itu pun hanya 2 saat.

“Bukan itu yang saya nak sampaikan” Yusra menutup telefonnya lalu dimasukkan ke dalam beg.

“Habis tu apa?” Humaira bertanya kehairanan. Seperti ada perkara yang tidak dia ketahui.

“Dah banyak kali saya dengar tentang Zaid ni. Katanya dia bercinta dengan kak Balqis. Selalu nampak mereka berdua bersama. Betul ke?”

“Siapa cakap?? Tak baik tuduh bukan bukan”

“Ramai..”

Humaira beristighfar. Dia tidak percaya akan khabar itu. Mana mungkin kawan sebiliknya yang bertudung labuh, menjaga solat, rajin pergi ke majlis ilmu sanggup bercinta dengan ajnabi sehingga sanggup berjumpa. Walaupun cinta islamik sekalipun, ia tetap salah. Dan hakikatnya cinta islamik itu tidak wujud.

Hatinya tiba- tiba rasa berdebar. Mungkin benar juga. Kalau tidak, mengapa Zaid itu mengenalinya? Masakan tidak, Humaira dan Balqis sangat rapat. Ah, Humaira buntu. Dia ingin huznuzhon dengan sahabatnya, namun sering juga dia berasa curiga dengan Balqis yang selalu menghilang.

Ke mana kah dia pergi?

Benarkah khabar yang didengari itu?

Humaira diam membisu. Dia tidak tahu apa jawapan yang sesuai diberikan pada Yusra. Fikirannya ketika itu juga dipenuhi dengan persoalan. Lalu dia mengajak Yusra segera pulang ke kolej memandangkan hari menjadi semakin gelap. Yusra akur dan memahaminya.


*******


Hari sabtu. Hari yang sentiasa ditunggu- tunggu buat mahasiswa kerana tiadanya kuliah. Yusra ada mengajak Humaira untuk ke festival buku di bandar, namun dia menolaknya. Humaira ingin berehat sahaja dek kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan. Sejak kebelakangan ini pening kepalanya menjadi- jadi. Kadang dia terasa lemah untuk berjalan dengan lama. Pernah juga dia pitam ketika hendak pulang ke kolej. Kalut kawan- kawannya membantu Humaira ketika itu. Walau bagaimanapun, dia tidak bersedia untuk berjumpa dengan doktor lagi. Bagi Humaira sakitnya itu normal bagi pelajar yang sedang menuntut di universiti. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

Humaira bangun dari kerusinya lalu mengambil salah sebuah buku rakan sebiliknya itu di atas meja. Tajuknya itu menarik perhatiannya. Sudah lama dia mencari buku itu. Mujur Balqis ada membeli di kedai minggu lepas, sekurang- kurangnya duitnya tidak perlu dihabiskan lagi untuk membeli buku.

Aku Budak Dekan.

‘Patutlah Qis selalu dekan, ini rahsianya’ kata Humaira. Dia ketawa kecil.

20 minit yang lepas Humaira ada meminta izin untuk meminjam barang sahabatnya itu. Di mana keberadaan Balqis sekarang, dia tidak pasti. Kali terakhir Humaira melihatnya adalah ketika membasuh baju. Mungkin dia sedang menyidai semua bajunya di bawah. Fikir humaira.

Sedang asyik Humaira membelek- belek buku yang sederhana tebal itu, secara tidak sengaja dia terjumpa satu lipatan nota di celahnya. Nota itu kelihatan lebih menarik daripada isi kandungan buku itu. Nota apa ini? Humaira tidak mahu membukanya, tetapi hatinya seolah- olah memaksa dirinya untuk membaca isi nota tersebut. Dia mula membacanya dengan teliti. Hatinya berdebar kencang. Dalam nota itu juga terselit satu keping gambar yang dikenalinya. Humaira betul betul terkejut.

Jadi benar lah apa yang berlaku, sangkaannya selama ini tidak meleset. Balqis, apa yang kau lakukan?

Merah mata Humaira menahan air mata. Tidak cukupkah aku sebagai teman? Dia mengesat air mata lalu menyimpan nota itu kembali di celahan buku.

“Humaira, ada hanger lebih tak?” Balqis secara tiba muncul di muka pintu. Dia masih tidak tahu apa yang berlaku.

Humaira diam. Masih tidak percaya dengan apa yang dibacanya sebentar tadi. Balqis sedar akan perubahan sikap Humaira yang mengabaikan pertaannya. Dia tahu Humaira sentiasa akan melayaninya, kecuali ketika marah atau sedih.

“Mai, kenapa ni? Takkan mintak hanger pun nak marah” Balqis cuba merapati Humaira yang sedang duduk di atas kerusi membelakanginya. Sejurus sahaja dia berdiri di sebelah Humaira, Balqis ternampak Humaira sedang memegang buku berwarna hijau itu bersama dengan nota yang amat dikenalinya.

Air muka Balqis berubah.

“Kau baca?”

“Aku cuma..”
 “Tak tahu ke privacy tu apa?!”

Balqis berang secara tiba. Dia mengambil nota itu dengan kasar. Merah mukanya menahan marah. Dia amat tidak suka orang lain mencampuri hal peribadinya.

“Jadi betul lah..”

“Ya aku dengan dia”

“Aku minta maaf. Tapi kenapa kau berahsia dengan aku selama ni? Dan kau dah lupa ke nasihat yang pernah kau beri pada aku dulu. Sekarang kau pulak yang buat, apa semua ni Qis. Dah banyak fitnah yang aku dengar pasal kau”

“Diamlah. Kau takkan pernah faham”

“Sabarlah, kita kan sahabat.. aku cuma nak tolong” Humaira cuba menenangkannya.

“Sahabat apa kalau hendak menghukum. Aku dah malas nak dengar apa- apa. Kau dengan yang lain sama je”

Balqis pergi lalu menghempaskan pintu. Sungguh dia penat melayan orang yang mengatanya. Bagi Balqis, biar lah dia menjadi dirinya sendiri. Buat apa hendak hipokrit. Dia cuma bercinta, bukan buat perkara yang tidak elok. Ego menguasai dirinya.

Humaira masih berada di bilik. Dia berasa sungguh kecewa. Balqis yang ceria dan merendah diri, kini berubah menjadi seorang yang pemarah dan ego. Mungkin salah Humaira kerana teralalu mengharapkan kesempurnaan dari seorang sahabat. Dia tidak sepatutnya menghukum, malah menegurnya dengan hikmah.

Humaira teringat akan kata- kata Balqis yang diungkapkan setahun yang lalu,

“Kita ni cuma hamba biasa, tiada yang sempurna. Andai kau tersilap langkah, aku janji akan bawa kau ke jalan yang betul. Tetapi andai aku yang tersilap, jangan tinggalkan aku. Sebab mungkin aku perlukan sahabat soleh ketika itu. Sahabat yang sentiasa mengingatkan diri tentang Allah.”

Menangis, itu sahaja yang mampu dibuatnya ketika itu. Hatinya pedih dan hancur.

La tahzan.
La tahzan.
La tahzan.

Sesungguhnya Allah bersama kita.


*******



Thanks ♥

BAB 3: Sweet like Cadburry


“Balqis, bangun”

Humaira memandang Balqis yang masih lagi tidur. Dia benar benar risau akan sahabatnya yang tidak makan dari pagi. Jam menunjukkan pukul 2.30 petang. Kebetulan Balqis tidak ada kuliah pada waktu itu. Jadi dia menghabiskan masanya dengan berbaring sahaja di atas katil.

Humaira membetulkan tudung yang sedikit bergelembung di sekitar mukanya. Tudung bawal 60 berwarna merah jambu itu dihadiahkan oleh Kak Intan. Dia menerimanya dengan perasaan yang sungguh teruja. Humaira tersenyum tatkala terbayangkan Kak Intan yang sentiasa berwajah manis. Dia sangat menghargai pemberian ini.

Sejurus membetulkan dirinya di hadapan cermin, dia mendekati Balqis lalu menggerakkan tubuhnya itu.

“Qis, bangun lah makan. Aku dah belikan nasi ayam  favourite kau”

“Hmm yelah japgi aku makan, kau pergi lah class dulu”

Balqis menjawab di sebalik selimut. Dia tidak mempamerkan wajahnya, hanya suaranya sahaja kedengaran.

Humaira tahu Balqis sedih akan apa yang berlaku. Projeknya gagal dan dia harus membuatnya semula. Oleh sebab itu Balqis tidak ceria seperti biasa. Dia banyak bersendiri dua hari ini kerana terlalu kecewa dengan komen pensyarah yang tidak berpuas hati dengan projek berkumpulan itu. Humaira benar benar memahaminya.

“Sudahlah qis.. Yang lepas biarlah lepas. Ada hikmah kenapa projek tu tak lulus. Mungkin Allah sedang menguji kau. Jangan putus asa, masih ada masa lagi. Aku tolong kau okay, jangan sedih sedih. Banyakkan istighfar dan berdoa. Minta pertolongan dari Allah. In shaa Allah, Allah akan bantu kau nanti. Aku tau kau kuat, Balqis yang aku kenal takkan mengalah dengan mudah”

Tiada sebarang jawapan dari Balqis.

“Tak mengapalah qis. Aku pergi class dulu ya. Jangan lupa makan”

Humaira menepuk lengan Balqis dengan perlahan lalu mengambil beg untuk pergi ke kuliah. Sempat dia melihat dirinya di cermin untuk memastikan penampilannya sentiasa kemas. Seorang muslim perlulah sentiasa menjaga kebersihan luaran dan dalaman. Itu lah prinsip yang Humaira pegang sehingga bergelar mahasiswa.

Sambil Humaira berjalan ke dewan kuliah, sempat juga dia menegur beberapa rakan dari fakulti lain ketika terserempak dengan mereka. Tiba- tiba, telefon bimbit di dalam begnya bergetar. Satu mesej whatsapp masuk beberapa saat yang lalu.

Balqis.

‘In shaa Allah aku kuat lepas ni. Terima kasih mai, kau memang sahabat aku. By the way.. nasi ayam ni memang sedap. Hehe’

Tergelak kecil Humaira membacanya. Alhamdulillah, Balqis kembali ceria. Mungkin tak seceria sebelum ini, tetapi cukuplah dapat menghilangkan sedikit kekecewaan yang melanda dirinya. Kau memang kuat, Balqis.



*******



Seperti biasa, hujung minggu pasti akan ada perjumpaan smart circle. Humaira sentiasa menantikan waktu itu. Tidak sabar rasanya untuk mencedok nasihat dan pengisian yang diberikan oleh mentornya. Bagi Humaira, ini lah salah satu cara untuk dia berubah menjadi seseorang yang lebih baik selain daripada majlis ilmu dan menelaah kitab.

Humaira dan Balqis sama- sama bersiap seawal 9 pagi. Namun, Balqis kelihatan lebih cantik daripada biasa. Dia melilit shawl labuh berwarna cream dengan kemas. Sedikit make up dikenakan pada wajahnya yang cantik semulajadi itu.

“Qis, kau nak pergi mana ni? Nak jumpa kawan kawan usrah je kan”

Humaira bertanya sambil menyarungkan sarung lengan. Raut di wajahnya sedikit hairan.

“Eh aku tak bagitau kau lagi eh? Aku tak jadi pergi usrah. Ada hal kejap”

“Hal apa pulak. Busy betul kau lately ni”

“Haha macam biasalah. Kirim salam kt kak Intan ya. Aku dah mesej dia tadi”

Humaira tidak mahu mencampuri urusannya. Balqis memang selalu tiada di bilik sejak kebelakangan ini kerana banyak berjumpa kawan kawan sekelas untuk menyiapkan projek mereka itu. Kemudian, Balqis menyarung stoking lalu keluar dari bilik dengan pantas. Walaupun mengejar waktu, dia tidak pernah mengabaikan auratnya. Cukup sempurna tertutup.

“Bye mai. Petang ni aku balik. Jangan rindu aku tau. Assalamualaikum”

Humaira tersenyum. Bahagia terasa apabila melihat wajahnya ceria seperti biasa. Moga projek Balqis kali ini berjaya. Humaira tidak sanggup melihatnya berselubung dalam selimut lagi. Cukup lah sekali sahaja.

“Waalaikumussalam. Bittaufiq wannajah”

Balas Humaira dengan nada perlahan lalu segera menuju ke surau muslimat yang terletak di sebelah kafe Permai.



*******



“Baiklah. Hari ni kita ada ahli baru. Adik, minta perkenalkan diri”

“Assalamualaikum. Nama Nur Yusra Athirah binti Zamri. Boleh panggil Yusra. Dari fakulti senibina tahun 1. Mohon semua dapat beri tunjuk ajar pada saya”

Semua yang hadir ketika itu berasa teruja dengan kehadirannya. Bukan mudah untuk berjumpa dengan pelajar senibina memandangkan kuantiti mereka sedikit sekali di kampus berbanding yang lain. Walaupun yusra bukanlah seorang muslimah bertudung labuh sepertinya, tetapi kegigihannya untuk menyertai smart circle benar benar mengagumkan Humaira. Dia juga seorang yang sopan dan menjaga tutur katanya.

“Alhamdulillah. Moga kita semua dapat menjadi sahabat walau terdapat pelbagai latar belakang kita di sini. Hari ni kita akan masuk tajuk aurat ya”

Kak Intan memulakan bicara hikmahnya dengan sepotong ayat dari al- Quran,

“Hai Nabi, katakanlah kepada istri-istrimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita (keluarga) orang-orang mukmin, agar mereka mengulurkan atas diri mereka (ke seluruh tubuh mereka) jilbab mereka. Hal itu menjadikan mereka lebih mudah dikenal (sebagai para wanita muslimah yang terhormat dan merdeka) sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah senantiasa Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab, ayat: 59)

Ayat ini menjelaskan bahawa semua muslimat wajib menutup aurat dan memelihara perhiasan dengan melabuhkan tudung sehingga menutupi dada. Islam mensyariatkan kita supaya menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Jadi, kaki dan lengan juga aurat. Sebab itu kita kena pakai stoking dan handsock supaya dapat menjaga perhiasan kita sebaik- baiknya. Islam itu indah, jadi jagalah keindahan itu dengan menjaga maruah diri sebagai seorang muslimah”

Kak Intan meneruskan kata- katanya sehingga akhir. Walaupun ringkas sahaja pengisian Kak Intan, tetapi penuh dan padat sekali dengan pengajaran. Humaira dan sahabat- sahabat lain mengangguk tanda faham dan bersetuju. Ada sebahagian daripada mereka mencatat apa yang disampaikan termasuk Humaira dan Yusra.

“Baiklah. Ada apa- apa soalan? In shaa Allah akak akan cuba membantu”

Tiada respons yang diberikan memandangkan semua sudah faham tentang hal itu. Tiba- tiba, salah seorang yang berada dalam bulatan itu mengangkat tangan lalu mengajukan soalan. Yusra athirah.
“Saya nak tanya. Wajib ke kita pakai tudung labuh. Maksud saya, macam akak akak pakai sekarang. Maaf, bukan saya ingin mengkritik. Saya cuma ingin tahu. Kenapa pelajar yang bukan aliran agama juga memakai tudung labuh. Biasanya yang belajar agama sahaja bertundung labuh. Boleh jelaskan”
Yusra bertanya dengan pelik. Kak Intan tersenyum mendengar soalannya. Wajahnya tetap tenang seperti biasa.

“Terima kasih Yusra kerana bertanya. Soalan yang sangat baik. Macam ni lah, jika berbalik pada hukum. Perempuan wajib memakai hijab sehingga menutupi dadanya. Itu sahaja. Jadi tidak salah untuk pakai tudung apa pun, asalkan menutup aurat. Tetapi kenapa ada yang memilih untuk memakai tudung labuh walaupun dia bukan pelajar aliran agama? Banyak hikmahnya. Antara sebabnya adalah untuk menjadi perisai dari gangguan lelaki. Kebiasaannya, lelaki tidak akan berani untuk mengganggu perempuan yang berpenampilan sebegitu, lagi lagi yang menutupi wajah. Pasti mereka akan berfikir 10 kali untuk menegur kita. Bukan itu saja, tudung labuh juga dapat mendidik akhlak kita. Cuba bayangkan, bila kita bertudung labuh. Adakah kita berani untuk berbuat maksiat depan masyarakat? Sudah semestinya tidak. Kerana orang yang normal pasti akan malu jika imejnya tercalar.

Namun harus diingat. Pakaian bukanlah lambang ketaqwaan. Tak semestinya bertudung labuh itu alim. Keimanan semua terletak pada hati. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui apa yang tersirat di dalam hati kita. Sama ada kita ikhlas atau tidak, wallahu’alam”

Yusra mengangguk dengan laju. Ternyata dia seakan berminat untuk bertudung labuh. Mungkin dia tidak bersedia lagi. Jika dilihat dengan penampilannya sekarang, Yusra sudah cukup menjaga auratnya dengan baik. Dia juga tidak lupa untuk memakai stoking dan handsock. Cuma Humaira berharap suatu hari nanti Yusra juga akan berpakaian seperti sahabat yang lain. Bertudung labuh bidang 60. Pasti cantik dan bertambah ayu bila hijab sebegitu dikenakan padanya. Humaira tersenyum secara spontan tatkala terbayangkannya. Mujur tiada siapa yang nampak.

Setelah sejam berlalu, Smart circle itu diakhiri dengan doa Rabithah.

‘Ya Allah, engkau mengetahui hati- hati ini,
Telah berkumpul kerana kasihkan Mu,
Bertemu dan patuh pada Mu,
Bersatu memikul dakwah Mu,
Hati- hati ini telah berjanji setia,
Mendaulat dan menyokong syariat Mu,
Maka eratkanlah akan ikatannya,
Kekalkan kemesraan hati ini,
Tunjukkan ia jalan yang sebenar,
Limpahkan dengan cahaya Rabbani Mu,
Yang tak pernah padam dan lapangkan dengan iman.

Setiap kali dihayati doa itu, hati Humaira terasa begitu syahdu. Dia amat sukakannya. Sungguh, doa itu penuh bermakna buat dirinya.



*******



Perut Humaira berbunyi dengan kuat. Seakan- akan sedang menyanyikan sebuah lagu.

‘Ah, laparnya’

Ingin sahaja dia menelefon Balqis supaya membelikan makanan untuknya, tetapi dia tidak mahu menyusahkan sahabatnya itu. Apatah lagi Balqis sedang sibuk menyiapkan projek yang masih lagi belum selesai, sudah pasti dia akan balik lewat sedikit. Jam baru sahaja menunjukkan pukul 5 petang. Humaira bercadang untuk turun membeli makanan. Dia sudah tidak tahan lagi dengan kelaparan itu. Stok Maggie pula sudah kehabisan. Keluhnya.

Humaira memakai baju muslimah dan tudung sarung hitam yang labuh. Tujuannya untuk ke kafe sahaja, jadi tidak perlu baginya untuk bersiap dengan cantik seperti ke kelas. Cukuplah dengan kelihatan kemas dan tidak selekeh.

Humaira tiba di kafe. Bau makanan dan hidangan di situ sungguh mencabar nafsunya. Sedang asyik Humaira memilih makanan untuk menjadi santapannya sebentar lagi, secara tidak sengaja dia terpandang susuk tubuh seorang perempuan yang amat dikenalinya dari belakang. Wanita itu sedang berdiri di sudut kafe. Kelihatan dia sedang bercakap dengan seorang lelaki di hadapannya. Dia tidak dapat mengenalpasti wajah perempuan itu, tetapi wajah lelaki itu jelas di matanya. Ya, dia pernah terjumpa lelaki itu. Tetapi di mana? Puas Humaira memikirkannya.

Namun ada yang lebih merunsingkan fikirannya. Humaira memerhati perempuan itu dengan teliti dari jauh. Seperti dikenali. Tiba- tiba raut wajahnya berubah. Dia benar- benar terkejut.

Balqis kah? Tidak mungkin!

Matanya tidak menafikannya. Humaira kenal sungguh fizikal Balqis dari depan dan belakang. Tiba- tiba perempuan itu memandang ke arah tempatnya. Sah itu Balqis! Mengapa dia berdua dengan seorang lelaki?

‘Mungkin itu groupmate dia, ada kerja yang perlu dibincangkan’

Humaira bersangka baik. Dia tidak mahu menuduh yang bukan bukan pada saudara seislamnya itu. Apa yang dilihat tidak semestinya benar. Mungkin ada perkara yang tidak diketahui Humaira.

“Dik, nak makan apa? Ramai lagi yang tunggu tu”

Humaira tersentak dengan sapaan makcik. Dia mengalihkan pandangan semula pada makanan dan mengambil dengan cepat. Humaira berasa malu dengan beberapa siswi yang sedang menunggu giliran mereka untuk mengambil lauk. Ada yang memandangnya sinis.

“Maaf makcik. Dah siap, berapa ya?”

“Rm4.00”

“Ok. Makcik ambil sahaja bakinya”

Humaira senyum lalu menghulurkan satu keping not duit berwarna hijau kepada makcik itu. Setelah itu dia pulang ke bilik dengan pantas. Dia tidak mahu Balqis melihatnya di situ. Cukuplah dia sahaja yang melihatnya.

Balqis. Apa yang berlaku?


*******


Malam itu Humaira tidak banyak bercakap. Dia tekun membaca buku novel yang bertajuk Akhi karya Inche Gabbana. Buku itu menarik minatnya. Indah sunggu kisah persahabatan yang diceritakan dalam novel tersebut. Namun, sesekali Humaira berasa pening. Bukan pening yang biasa, tetapi amat sukar untuk dijelaskan. Kadang kadang pandangannya menjadi kabur secara tiba- tiba, seolah- olah ingin pitam. Apabila tidak tahan dengan sakitnya itu, dia menutup buku lalu merebahkan badan di katil. Sebelum ini dia pernah juga merasakan hal yang sama. Humaira sendiri pun tidak tahu apa puncanya.

Balqis masuk ke dalam bilik sejurus selesai menelefon ibunya yang berada di Turki. Hairan juga Balqis melihat teman sebiliknya yang tadinya membaca buku, tiba- tiba terbaring menekup wajah dengan sebelah lengan.

“Kau okay tak mai?”

“Okay je, cuma pening sedikit”

“Dah makan panadol?”

“Dah. Jangan risau lah, ni dah ok sikit”

“Mestilah risau. Kau kan sahabat aku. Jaga kesihatan baik baik mai. Ni coklat cadburry untuk kau”
Balqis mengambil coklat dari dalam laci mejanya dan meletakkannya di sebelah Humaira.
“Aku beli perisa yang kau suka. Black forest”

Humaira bangun lalu meneliti coklat itu. Dia tersenyum lebar. Sememangnya sudah lama dia mengidamkan coklat tersebut. Bukan dia tidak mahu membeli, cuma jadual yang padat menghalangnya untuk singgah di koperasi. Pandai sungguh Balqis mengambil hatinya ketika sakit.

“Terima kasih qis. Kau memang…”

“Baik. Tau dah”

Kedua- duanya tergelak dengan serta mata. Balqis pakar dalam menceriakan suasana. Alangkah sedihnya jika mereka terpaksa berpisah. Tiada senda gurau, tiada kasih sayang sebagai seorang sahabat. Humaira benar benar sayangkan Balqis.

Tiba- tiba, Humaira teringat akan peristiwa petang tadi. Melihatkan Balqis yang sedang dalam mood yang baik, Humaira ingin mengambil peluang untuk bertanyakan soalan yang terbuku di mindanya.

“Balqis…. Maaf kalau aku sibuk urusan kau. Aku nak tanya sikit, kau jumpa siapa petang tadi?”

“Maksud kau?” Air muka Balqis serta- merta berubah. Seakan- akan terkejut dengan pertanyaan itu.

“Lelaki itu. Aku ternampak di kafe”

“Oh, Zaid ke…? Emmm dia classmates aku. Tadi kami bincang tentang presentation next week. Itu sahaja”

Balqis menjawabnya. Namun, agak perlahan suaranya. Dia langsung tidak memandang wajah Humaira dan sibuk menaip sesuatu di telefon. Tiada lagi senyuman di wajah. Mungkin ada masalah dengan projeknya itu.

Humaira sekadar mengangguk. Dia serba salah kerana berfikiran negatif akan sahabatnya itu. Balqis berasal dari sekolah agama dan sangat pandai menjaga diri. Jauh sekali bezanya dengan Humaira. Dia kerap menasihati Humaira supaya menjaga ikhtilat ketika mula- mula berkenalan. Humaira bersyukur kerana Allah hadiahkan seorang sahabat untuk membimbingnya. Jika tidak kerana Balqis, mungkin Humaira akan terjerumus dengan gejala ‘couple’ dahulu.

Ah, dia tidak mahu mengingat kembali!

Sungguh Humaira berasa kesal dengan apa yang dilakukan. Mungkin sebab itu, dia begitu risau apabila melihat orang yang dia sayang mendekati lelaki ajnabi. Dia tidak mahu Balqis merasa cinta palsu yang bakal memakan diri. Baginya, tiada cinta yang indah tercipta sebelum berkahwin.

Kedua- dua sahabat itu mendiamkan diri. Balqis duduk di meja belajar dan menyiapkan beberapa tugasan yang perlu dihantar esok. Humaira pula masih terbaring di katil. Matanya terasa berat. Dia menguap berkali- kali. Panadol yang ditelannya tadi benar- benar membuatkan Humaira mengantuk yang amat. Perlahan- lahan matanya tertutup. Humaira tidak lagi sedarkan diri dek kerana dibuai mimpi.



*******

Thanks ♥

BAB 2: Smart Circle



“Kata Khalifah Ma’mun, kawan- kawan itu terbahagi kepada tiga golongan.

1.       Satu golongan seperti makanan yang sentiasa diperlukan
2.       Satu golongan seperti ubat, diperlukan pada waktu- waktu tertentu
3.       Satu golongan seperti racun, yang tidak diperlukan selama- lamanya”

Humaira membaca nota yang ditampalnya di dashboard. Dia tertarik dengan kata hikmah yang dipetik dari kitab Qut Al- Albab karangan Al- Habib Abdullah bin Husin bin Abdullah Balfaqih.  
Seingatnya, dia menampal nota itu dua minggu yang lepas sejak pertama kali mengikuti smart circle. Kalimat indah itu diungkapkan oleh mentornya sendiri, sehingga dia mengambil peluang untuk mencatatnya dan tampal di bilik supaya dapat dibaca setiap hari.

Balqis segera menyambung tulisannya yang berbaki satu perenggan lagi di atas sekeping kertas. Dia ingin memberinya pada seseorang. Sesekali dia mengunyah kerepek pisang sambil memikirkan ayat untuk ditulis.

“Surat cinta ke?”

Balqis menerjah dari belakang secara tiba. Entah dari mana dia datang, Humaira tidak tahu.
“Bukanlah, ni surat untuk Madam Sofia. Aku tak dapat hadir kuliah dia minggu depan, sebab kena balik kampung”

“Eh asal tak taip je kt laptop, pastu print. Kan senang”

“Menulis dengan tangan lebih cepat dan jimat”

Humaira fokus pada karangan yang ditulis berbanding melayan rakannya yang terpinga- pinga. Malas hendak melayannya.

‘Ok siap’

Dia melipat kertas itu dan simpan di dalam laci meja. Perasaan rindunya pada kampung semakin menebal. Humaira teringat akan umminya. Hendak tunggu cuti sem, lambat lagi. Lagipun Humaira ada hal yang perlu diselesaikan segera di sana. Lesen memadun L miliknya hampir tamat tempoh. Jadi dia ingin mengambil ujian secepat yang mungkin pada minggu hadapan.



*******


Suasana hujung minggu di kampus pada sebelah pagi kebiasaannya lengang. Kemungkinan pelajar di situ masih lagi menghabiskan sisa tidur mereka. Ada juga sebahagian pelajar yang keluar ke bandar memandangkan hanya hujung minggu sahaja masa yang mereka ada dek kerana kesibukan belajar.

Humaira terpandang beberapa siswa yang sedang jogging di sekitar kampus. Dia berasa kagum dengan mereka yang menghabiskan waktu dengan beriadah. Islam sememangnya menggalakkan umatnya untuk menjaga kesihatan. Antara cara untuk menjaga tubuh badan kita adalah dengan bersukan, seperti mana yang dilihatnya sekarang. Bersyukur kerana masih berada dalam suasana yang mengamalkan budaya sihat. Mahasiswa di situ gemar bersukan pada waktu lapang. Kebetulan hari itu Humaira juga ada riadah bersama rakan- rakannya di tempat memanah.

Dia melihat sahabat sebelahnya yang dari tadi menilik telefon bimbit. Sesekali Balqis tersenyum menatap skrin telefon. Apa yang membuatkan Balqis gembira? Humaira tidak mahu memikirkannya kerana rakan- rakan yang lain sudah menunggu di sana. Dia harus segera mempercepatkan langkah.

“Assalamualaikum, kak Intan. Sudah lama menunggu?”

Humaira dan Balqis menyapa salah seorang siswi yang sedang berdiri di tempat memanah. Kak Intan benar benar mencuri perhatian Humaira sejak pertama kali bertemu. Dia tidak lah secantik model, namun senyuman dan wajahnya sangat menyejukkan pandangan. Tudung labuh koshibo yang disarungnya juga membuatkan Kak Intan kelihatan seorang yang ayu. Mereka terus bersalaman.

“Waalaikumussalam. Tak lah mai, qis.. baru je lagi. Duduk lah dulu. Ada lagi yang tak sampai”
Kak Intan menjawab dengan tenang. Senyuman di wajahnya tidak pernah pudar.

Satu bulatan kecil telah dibentuk di sebelahnya. Humaira dan Balqis segera mengambil tempat dan bertegur sapa dengan rakan- rakan yang lain. Setelah semuanya hadir dan bertaaruf, Kak Intan terus memberikan pengisian sebelum memulakan aktiviti archery.

“Cinta itu indah, kerana ianya fitrah dalam Islam. Sudah menjadi sunnatullah untuk setiap insan memiliki rasa cinta. Tapi ingat, cinta kepada Allah haruslah mendahului segala- galanya. Selepas itu baru lah cinta kepada nabi, kepada ibu bapa, sahabat- sahabat dan lain- lain. Mungkin ada sebahagian yang salah meletakkan cinta pada yang sepatutnya. Pada ajnabi, adik adik rasa patut kah kita mencintai seseorang yang belum lagi menjadi mahram kita?”

Kak Intan mengajukan pertanyaan bukan kerana dia tidak mengetahui, tetapi untuk mengasah minda semua yang hadir. Mereka hanya sekadar senyap dan mendengar dengan teliti. Kak Intan menyambung kata- katanya.

“Wanita itu mahal. Hati juga mahal. Tidak seharusnya kita memberi pada sang lelaki dengan sesuka hati. Hatta cinta Islamik sekalipun, namun benarkah caranya? Jika benar cinta, biarlah ianya menjurus kepada yang diredhai Allah yakni perkahwinan. Akak harap semua faham. Mungkin penjelasan ni tak berapa lengkap, tapi akak tahu. Semua di sini pandai menjaga diri.

Jadi lah seperti Saidatina Fatimah yang sentiasa memelihara maruah diri hingga Allah menakdirkannya untuk bersama dengan orang yang dia cintai secara diam, Saidina Ali. Romantik bukan?”

Semua berasa teruja mendengar kisah unggul anak Rasulullah SAW itu. Topik pada kali ini agak lain daripada yang lain. Kebiasaannya Kak Intan akan bercakap soal ukhuwah, akademik dan sirah perjuangan. Namun tajuk cinta pula yang disampaikannya. Apa jua topik sekalipun Humaira tidak akan terlepas dari mencatatnya. Sungguh bagi Humaira, nasihat itu umpama air. Dia sangat memerlukan kata- kata nasihat supaya dirinya tidak tersilap langkah dan tersasar jauh dari jalan kebaikan.

15 minit sudah berlalu. Kini tiba untuk mereka memulakan aktiviti utama mereka. Humaira berasa agak kekok kerana itu lah pertama kali baginya memegang pemanah. Tidak bagi Balqis, dia sudah mahir sejak di sekolah menengah lagi. Bahkan pernah mewakili daerah untuk bertanding di peringkat negeri. Humaira kagum dengan kepakarannya memanah tepat pada sasaran.

Walau bagaimanapun, Humaira terasa begitu manisnya hari itu. Bukan kerana cuaca yang redup, atau air teh yang diminum pagi tadi. Tetapi kerana bulatan kecil itu, membuatkan dia berasa tenang walaupun hakikatnya banyak lagi tugasan yang perlu diselesaikan. Apa salahnya untuk melepaskan tekanan pada hujung minggu. Itu lah yang difikirkan Humaira.

Sungguh, manisnya ukhuwah!


*******


Senja mula menyinsing. Humaira segera pulang ke rumahnya yang terletak di tingkat 2 blok Fatimah Az- Zahrah. Pada waktu sebegini masih ada lagi yang bermain bola sepak di padang, sedangkan maghrib tidak lama lagi akan masuk. Humaira hanya sekadar menggeleng. Dia tidak mampu untuk menegur, cukuplah membeci akan perbuatan itu dalam hati. Bukan membeci pelakunya, kerana kemungkinan suatu hari nanti mereka akan berubah menjadi pemuda yang soleh dan sentiasa hadir ke masjid menunaikan solat berjemaah. Pengakhiran manusia, hanya Allah sahaja yang tahu.

Sejurus tiba di dalam bilik, Humaira meletakkan dua bungkusan makanan di atas meja. Satu untuk dirinya, manakala satu bungkusan lagi untuk Balqis. Balqis ketika itu tiada di bilik. Mungkin dia sedang membersihkan diri di bilik air. Fikir Humaira.

Ternyata sangkaan Humaira benar. Balqis kemudiannya keluar dari bilik air. Bau sabun mandian Lifebuoy menusuk hidung Humaira.

“Wangi tak aku?”

Balqis memulakan agenda dia. Usikan yang tak berkesudahan.

“Malas layan. Ni aku nak tanya, free tak malam ni?”

“Hmm kejap aku cek jadual aku haha. Macam tak free je. Sebab nak jumpa kawan, tapi sekejap je. Dalam pukul 10 gitu aku balik. Kenapa?”

“Takde lah, saja tanya. Ingat nak ajak tengok movie baru Syurga yang Tak Dirindukan, esok kan cuti khas. Tapi kalau kau busy takpelah”

Humaira mengambil tuala untuk mandi, memandangkan waktu maghrib akan masuk sebentar sahaja lagi. Namun Humaira berasa pelik, kawan mana pula yang ingin dijumpai Balqis? Oleh sebab hari itu dia berasa sungguh letih, dia tidak ingin menanyakan soalan lebih pada Balqis. Hanya sekadar mengangguk. Otaknya juga penat setelah menghadapi dua test dan satu quiz dalam satu hari.

“Dah tak payah nak buat ayat sedih. Aku teman nanti ok, pergi mandi dulu. Tak baik kita lewatkan waktu solat”

Humaira seakan- akan mengenali ayat itu. Balqis mengenakannya kembali. Ada sahaja Balqis ini. Humaira mencubit lengan Balqis lalu menuju ke bilik air. Dia ingin segera membersihkan badan setelah seharian berpenat.


*******


“Mai.. mari turun makan”

Ummi memanggil Humaira dari dapur. Dia ketika itu sedang bermain dengan anak saudaranya di tingkat atas. Geram sungguh Humaira dengan si Arisya ni. Sudah lah putih melepak, lebat pula bulu matanya. Bapa Arisya mempunyai kacukan arab, maka tidak hairanlah anaknya turut memiliki  rupa paras yang cantik.

“Baik ummi. Mai panggil kaklong sekali”

Humaira berasa tenang meluangkan masa bersama keluarga walaupun hanya empat hari di situ. Dia pulang ke kampungnya pada hari Sabtu dan akan kembali ke kampus pada hari Selasa. Ujian memandunya juga sudah selesai. Alhamdulillah, Humaira lulus. Walaupun dia pernah gagal dalam ujian memandu sebelum ini, tetapi dia tidak berputus asa dan berjaya melepasi semua ujian dengan mudah pada kali yang kedua. Berkat usaha dan doa ummi dan walid. Humaira bersyukur. Kakak sulungnya turut ada di rumah ummi kerana sedang berpantang anak yang kedua.

“Walid mana, ummi?”

Tanya Humaira sambil menuangkan air bandung kegemarannya di dalam gelas.

“Walid ada jemputan ceramah di Masjid Bandar Baru Bangi. Dia ke sana dengan kawannya”

“Ala tak sempatlah nak jumpa walid. Malam ni mai nak balik dah”

“Walid balik petang ni. In shaa Allah sempat jumpa”

Rutin kebiasaan walid. Bukan sahaja seorang ustaz, tetapi sering dijemput memberikan ceramah di kawasannya walaupun usia sudah melepasi separuh abad. Walid tetap bertenaga menyebarkan ilmu dalam masyarakat. Tiba- tiba Humaira teringat akan abangnya yang berada di Mesir.

“Abang bagaimana pulak ya?”

“Baru semalam dia call ummi. Alhamdulillah dia baik baik sahaja. Katanya raya nanti dia akan balik”

Humaira hanya sekadar mengangguk. Berkali- kali dia menambah nasi dan lauk di hadapannya. Dia sibuk menjamah makanan di depan matanya. Bukan selalu dia merasai masakan ummi sejak sambung belajar di universiti. Masakan ummi tidak pernah mematahkan seleranya. Benar lah kata orang, masakan terbaik adalah daripada air tangan ibu sendiri. Rindunya betul betul terubat tatkala berada di kampungnya itu.

Dalam masa yang sama, Humaira juga teringat akan sahabat- sahabatnya di kampus. Dia rindu akan bulatan yang sentiasa menenangkan jiwanya. Pernah dia mendengar kata- kata dari seorang yang alim, bahawa rahmat Allah akan turun apabila kita bersama- sama dengan orang yang soleh iaitu orang yang dekat dengan Allah.

‘Tidak mengapa, esok aku akan berjumpa juga dengan mereka. Apa khabar Balqis agaknya’

Humaira berkata dalam hati. Dia berharap agar projek sahabatnya itu berjalan dengan lancar. Humaira hanya mampu mendoakannya dari jauh.

Lamunannya tersentak apabila satu pukulan menyinggah di lengannya. Dia memandang punca pukulan itu. Sepertinya Humaira kenal dengan orang yang berada di belakangnya.

“Kak cik!”

Humaira terkejut dengan kehadiran kakaknya yang kedua itu. Mungkin baru sahaja tiba di rumah setelah menghabiskan semnya yang terakhir sebagai pelajar perubatan di USIM. Bercahaya matanya memandang kakaknya itu. Dia lah penemannya ketika kecil, pendengar yang baik dan banyak mentarbiahkan dirinya dengan ibadah. Lama sungguh tidak berjumpa. Gembira tidak terkata.

Humaira menghabiskan sisa sisa waktu di kampung dengan keluarganya sebelum pulang ke kampus. Sekurang- kurangnya hati Humaira berasa tenang untuk menghadapi cabaran dalam menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Jam 8 malam nanti Humaira akan menaiki bas ke kampus.

Moga semuanya dipermudahkan. Aamiin.


*******

Thanks ♥