'Orang yang paling bahagia bukanlah yang memiliki segalanya, tetapi yang
sentiasa bersyukur dengan apa yang ada’
Noktah. Humaira menaik muat status di
Facebook. Dia begitu gembira sejak sehari yang lepas. Ummi menelefonnya lalu memberitahu
bahawa walid berada dalam kondisi yang baik dan stabil. Alhamdulillah, syukur!
Humaira berjanji akan pulang ke kampung halamannya study week nanti. Rindunya pada wajah ummi dan walid tidak mampu
diungkapkan. Hanya Allah sahaja yang tahu.
Dia memandang katil Balqis. Sudah tiga hari
dia tidak tidur di sini. Humaira tidak sangka Balqis akan merajuk dengannya
sebegitu lama. Apa salah Humaira agaknya. Dia cuma ingin menegur, bukannya
ingin mendakwa dirinya solehah. Mungkin caranya yang salah kerana terlalu cepat
menghukum.
“Ya Allah.. Balqis”
Humaira benar- benar sedih akan sikapnya
yang jauh berubah. Dia risau akan perselisihan faham yang lama itu. Sungguh
licik syaitan. Memang benarlah, musuh- musuh Islam tidak akan pernah berhenti
untuk memecahkan umat nabi Muhammad. Baru semalam Humaira menghadiri majlis
ilmu di masjid kampus. Kebetulan penceramah ketika itu membuka tajuk
‘persaudaraan’. Dia menyampaikan sepotong hadis yang pernah didengar sebelum
ini.
Rasulullah SAW bersabda,
“Tidak
akan masuk syurga orang yang memutuskan (silaturahmi)” (HR Bukhari dan Muslim)
Entah mengapa, hadis itu itu benar- benar
menyentap hatinya. Adakah Allah ingin menegurku?
Tiba- tiba pintu biliknya diketuk.
Lamunannya terhenti. Kelihatan salah seorang rakan serumahnya, Sakinah berdiri
di hadapan biliknya.
“Mai, ada orang cari awak”
Humaira kehairanan. Setahu Humaira, dia
tidak berjanji dengan siapa pun untuk berjumpa pada hari itu. Lalu dengan
pantasnya dia menuju ke pintu rumah untuk melihat siapakah gerangan yang datang
mencarinya.
Alangkah terkejutnya Humaira melihat Yusra
di hadapan muka pintu. Wajahnya sugul dan tidak bermaya. Matanya bengkak
seperti baru sahaja selesai menangis. Kelihatan seolah ada sesuatu yang berat
menimpanya.
‘Apa yang terjadi dengan mu Yusra?’
*******
Balqis memerhati keadaan sekeliling. Dia
berdiri di luar dewan kuliah sambil menunggu rakan- rakan sekelasnya keluar.
Setelah dewan tersebut kosong dengan pelajar, Balqis masuk kembali. Dia ingin
bertemu dengan Ustazah Ainul. Ada sesuatu yang mahu ditanyakan.
“Ustazah sibuk ke?” Balqis menyapa ustazah
yang berjubah hitam itu setelah memberi salam. Hanya mata sahaja yang
kelihatan. Sungguh cantik berwarna coklat.
“Untuk awak free sahaja” Ustazah Ainul
berjenaka. Usianya masih muda, lebih kurang 30-an usianya. Mungkin sebab itu
ramai pelajar yang selesa berbual dengannya.
Balqis tersenyum tawar. Dia tidak pasti
sama ada mahu gembira atau sedih.
“Duduk lah sini. Ceritakan apa masalah
awak. In shaa Allah yang mana boleh bantu, ustazah akan bantu” dia
menyambungnya lagi.
Lalu Balqis pun duduk di harapan Ustazah
Ainul. Lama dia berdiam diri. Berat untuk dia melepaskan segalanya memandangkan
hal itu boleh membuka aibnya. Namun dia percayakan Ustazah Ainul. Dia tahu
ustazah pasti menjaga rahsianya dengan sebaik mungkin. Setelah bersedia, Balqis
memulakan bicara.
“Ustazah, cinta itu fitrah bukan?”
Ustazah Ainul hanya diam dan memberi
sepenuh perhatian terhadap pelajar kesayangannya itu.
“Salah ke kalau kita menaruh perasaan pada
seseorang? Bukannya saya yang mahu, tapi ianya datang sendiri. Kita sepatutnya
menggunakan fitrah, bukan menolaknya. Itu sudah melanggar fitrah yang Allah bagi”
Balqis berhenti. Dia mahu menyambung
kembali, tetapi suaranya seolah- olah disekat. Dia perlukan jawapan dan hujah
yang menyokong tindakannya. Ustazah Ainul kemudiannya mengajukan soalan juga padanya.
“Ya betul. Emm Balqis suka makan?”
“Mestilah! Apa ustazah ni.. lari topik”
Ustazah Ainul tergelak kecil. Dia berdiam
selama seminit untuk menyusun kata. Lalu dia menyambung kembali.
“Bukan cinta sahaja fitrah, makan juga fitrah. Ustazah rasa semua dah
maklum pasal ni. Fitrah, kalau digunakan secara berlebihan pasti akan
mendatangkan kemudaratan. Contoh, makan. Bila terlebih makan, mula lah macam
macam penyakit yang kita dapat. Obesiti, diabetes, darah tinggi. Jadi sama juga
lah dengan cinta. Bila berlebihan dalam percintaan, tidak mustahil untuk kita
mendapat penyakit juga. Penyakit hati, itu yang kita risaukan. Bila hati mati,
nasihat pun susah untuk diterima. Seram bukan? Nauzubillah.. Moga kita
dijauhkan”
Balqis tunduk. Dia masih tidak berpuas
hati.
“Ustazah rasa ustazah tahu apa yang tersirat dalam hati kamu. Kamu
menaruh harapan pada seseorang bukan?
Balqis, cinta ni luas. Yang dinamakan fitrah itu adalah apabila semua
manusia dapat merasainya tanpa diundang. Cuma di mana cinta yang kita letakkan
itu bergantung pada individu. Ada orang cintakan kedudukan, ada yang cintakan
keluarga, dan ada yang cintakan harta. Semua itu tak salah, tapi kita harus
bijak mengawalnya. Jangan sampai berlebihan sehingga ketepikan agama.
Cinta itu dicipta oleh-Nya, Maka selayaknya dia lah yang sepatutnya kita
cintai dahulu. Nak cintakan yang lain boleh, tapi bersederhanalah. Lagipun
Allah tak suka akan hamba-Nya yang mendekati zina sebagaimana yang disebut
dalam al- Quran..”
“Tapi ustazah, saya tak buat apa apa pun!
Saya cintakan dia kerana Allah” pintas Balqis. Dia tak suka dirinya dituduh
sebegitu. Dia masih tahu jaga batas pergaulannya dengan ajnabi. Wajahnya
sedikit muram.
“Maafkan ustazah.. hmm begini lah Balqis.
Selama ustazah kenal kamu, tak pernah ustazah lihat kamu buat perkara
yang bertentangan. Tapi manusia ni selalu buat silap. Mendekati walau seinci
pun sudah salah sebenarnya. Melihat juga salah. Kebanyakan pasangan yang
bercinta adalah berpunca daripada pandangan yang tidak terjaga.
Kamu kata cinta kerana Allah? Tapi cara kamu jelas salah. Dalam Islam,
matlamat tak menghalalkan cara, Qis. Sebab tu Allah mensyariatkan perkahwinan.
Supaya fitrah disalurkan pada tempat yang betul. Iman kita ni senipis bawang.
Peliharalah hati sebaik- baiknya.
Ustazah percaya.. kamu ni baik orangnya. Jadi seharusnya kamu menjadi
qudwah hasanah buat ummah. Jangan kamu pula yang jadi fitnah pada agama. Banyak
lagi yang perlu kamu fikirkan. Berjuang lah bersama rakan- rakan kamu. Jangan
disebabkan cinta, kamu gadaikan persahabatan. Ketepikan sahaja yang remeh itu,
syaitan memang tidak akan berhenti menghasut kita, lagi- lagi yang membawa
agama.
Bertaubatlah, masih ada masa. Allah SWT sentiasa menunggu kita walau
setinggi gunung pun dosa yang kita lakukan. In shaa Allah.. moga Allah
lembutkan hati kamu”
Ustazah Ainul seakan tahu apa yang terjadi
pada Balqis. Balqis tidak mampu mengangkat kepalanya. Dia begitu sebak. Air
matanya mula mengalir. Kata- kata Ustazah Ainul benar- benar meresap ke dalam
jiwanya.
Sungguh, dia rindukan Humaira.
*******
Humaira memandang Yusra di hadapannya.
Masih ada air mata yang berbaki. Dia masih keliru dengan apa yang mahu
disampaikan Yusra.
Sudah lah tidak menelefonnya, datang pula
secara mengejut. Lama Yusra tertunduk. Hanya bunyi kipas yang jelas didengari
ketika itu.
“Kak Intan..”
Yusra tidak mampu meneruskan katanya.
Nafasnya tersekat- sekat menahan tangisan. Dia terlalu sedih dengan apa yang
terjadi.
“Ya sayang. Kenapa dengan kak Intan?”
wajahnya cemas.
“Dia…” Suaranya perlahan. Air mata pula
yang semakin kuat.
“Dia kenapa?”
“Hmm dia dah tak ada…”
“Astaghfirullah.. apa yang Yusra cakap ni?”
Humaira seolah tidak percaya apa yang
diungkapkan Yusra. Mana mungkin Kak Intan sudah pergi, baru empat hari yang
lepas dia berjumpa dan makan bersamanya. Sewaktu itu Kak Intan banyak
menasihatinya untuk terus istiqamah dalam medan dakwah. Bukan itu sahaja,
banyak lagi pesanan yang diberikan kepadanya. Khabar yang dibawa Yusra benar-
benar mengejutkannya.
Hati Humaira berdegup kencang, lebih
kencang daripada biasa. Hujan lebat di luar seolah- olah memahami gelodak
jiwanya. Patut lah Kak Intan banyak mengelakkan diri daripada berjumpanya
dengan kerap.
“Maaf kak, tapi itu lah yang terjadi. Kak
Intan sebenarnya ada kanser hati. Dia menyembunyikan dari semua orang, saya
sendiri pun tidak tahu. Pagi tadi dia tiba- tiba diserang sakit dan dibawa ke
hospital. Tak lama lepas tu, saya dapat berita dari adik Kak Intan yang dia
sudah pergi buat selama- lamanya”
Yusra menghabiskan katanya dengan esakan
yang lebih kuat dari tadi. Mengapa Kak Intan merahsiakan darinya? Humaira tidak
mampu untuk berkata. Hanya kalimah ‘innalillahi
wainna ilahi rajiun’ yang diungkap. Mereka menangis seraya berpelukan.
Petang itu terasa begitu syahdu. Entah mengapa, pemergian Kak Intan begitu
dirasai.
Hatinya susah untuk redha dengan pemergian
orang yang dia sayang. Kak Intan banyak mengajarnya erti kehidupan. Sukar untuk
menjumpai insan yang baik sepertinya. Namun, tiada siapa yang mampu melawan
takdir Allah. Nyawanya diambil saat dia masih muda.
“Nanti akak tolong bagitahu Kak Balqis
sekali ya”
Humaira mengangguk lalu mengesat air mata
yang tidak mampu ditahan. Deras mengalir.
Kak Intan, mengapa terlalu awal?
Humaira beristighfar. Tidak patut baginya
mempersoalkan perancangan Allah. Mungkin Allah lebih sayangkan dia.
Nur Intan Nasuha.
Tenanglah duhai jiwa di sana. Kami takkan
pernah melupakanmu.
*******