Pages

Friday, August 4, 2017

BAB 1: Siapa dia?





‘Allahuakbar allahuakbar!’

Bunyi azan mula berkumandang. Jelas sekali kedengaran dari tempat kediaman siswi yang hanya terletak di sebelah masjid al- Azim. Humaira baru selesai mengambil wudhuknya. Seusai sahaja dia masuk ke salah sebuah bilik yang didiami dua orang dalam rumah tersebut, dia menghamparkan sejadah lalu menyarungkan telekung berwarna ungu di kepala. Gadis berkulit cerah dan berspek di wajah itu memang sentiasa menepati masa terutama berkaitan dengan solat. Pantang sahaja dia berjumpa kawan yang melengahkan waktu, pasti akan ditegurnya.

“Qis, jom solat berjemaah”

Sapa Humaira kepada kawan sebiliknya, Balqis yang sedang leka menyiapkan tugasan.

“Sekarang ke?”      
                                                                                                                                    
“Taklah esok”

“Ish, main main lah. Maghrib ni, syaitan banyak”

“Sebab tu ada orang yang still lengahkan solat walaupun dah dengar azan”
Balasnya bersahaja. Balqis berbuat muka selamba sambil menyusun helaian kertas yang berselerak dia atas meja. Dia tidak tersinggung dengan kata- kata rakan sebiliknya itu, sudah menjadi kebiasaan baginya. Mereka terlalu akrab sehingga tiada masa untuk bermasam muka dengan perkara remeh.

“Yelah aku ambik wudhuk sekarang. Tapi kan mai..”

“Haa alasan apa lagi?”

“Kau jadi imam eh”

“Haha macam macam lah qis. Yelah, cepat sikit bersiap. Solat di awal waktu itu sunnah. Aku taknak terlepas pahala sunnah disebabkan kau”

“Takpe, pahala Jemaah kan ada. Kau kena bersyukur sebab ada kawan yang sudi berjemaah dengan kau”

Balqis menuju ke bilik air sambil menghadiahkan senyuman sinis kepada Humaira. Geram juga Humaira melihatnya, ada sahaja jawapannya. Humaira mengenalinya sejak menjejakkan kaki di universiti ternama itu dua tahun yang lalu. Balqis, seorang pelajar yang berasal dari negeri Johor, bijak dan petah berkata. Dia lah sahabat yang setia dengannya sehingga kini. Betapa Humaira bersyukur dengan kehadiran Balqis dalam hidupnya.

‘Alhamdulillah’ bisik hati kecil Humaira.


*******


Jam 8 pagi. Seperti biasa mahasiswa- mahasiswa akan menjalankan aktiviti masing masing. Ada yang ke kuliah dan ada yang masih dibuai mimpi kerana tiadanya kuliah pada awal hari. Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka untuk berjalan kaki ke kelas. Jarak dari kolej ke bangunan kuliah bukanlah suatu yang menyenangkan bagi pelajar, ia mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk sampai. Tetapi disebabkan itu sudah menjadi rutin harian bagi mereka, kepenatan dan keletihan tidak begitu dirasai. Mungkin yang dirasainya cuma sedikit. Hanya sekadar keringat di dahi.

Humaira menuju ke perpustakaan seorang diri kerana ingin mencari maklumat bagi tugasannya itu, dan berniat untuk terus ke bangunan al- Siddiq pada jam 10 nanti untuk menghadiri kuliah pengurusan perniagaan. Balqis yang mengambil jurusan sains itu sudah lama menghadiri kuliahnya di bangunan baharu yang dibina berdekatan dengan pejabat HEP.

Cuaca agak sejuk pada sebelah pagi. Humaira berjalan dengan tenang sambil melihat pemandangan kampus yang berkabus, embun embun yang menitis dari dahan pokok juga menarik perhatiannya. Sesekali dia berzikir mengingati pencipta alam.

‘Mungkin hujan malam tadi. Indah sungguh ciptaan Tuhan. Subhanallah’ getus hati kecilnya itu.

Sedang asyik Humaira menikmati keheningan pagi, tiba- tiba ada sesuatu yang keras melanggar bahunya. Hampir terjatuh tubuh kecilnya itu.

“Astaghfirullah..”

Humaira beristighfar tatkala melihat seorang lelaki di hadapannya. Terkejut dengan kejadian yang berlaku. Apa yang membuatkan Humaira terkejut adalah bukan kerana bahunya dilanggar, tapi objek yang melanggarnya itu. Dia merupakan lelaki, ya seorang siswa. Bukan siswi seperti yang diharapkan.

“Err.. sorry sorry. Saya betul betul nak cepat. Awak okay? Saya minta maaf”

Terkebil- kebil Humaira melihatnya. Seakan- akan sedang menyaksikan suatu fenomena yang jarang sekali berlaku. Humaira hanya bisu dan mendiamkan diri. Siapa lelaki ini? Anak matanya tidak beralih. Mungkin tertarik dengan penampilannya yang sopan dan menarik di matanya. Atau mungkin terkejut melihatnya yang tergesa- gesa.

Astaghfirullah. Sekali lagi Humaira beristighfar. Secara tiba dia teringat akan ayat al- Quran, Allah SWT berfirman :

”Katakanlah kepada laki-laki yang beriman,’Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.’” (An-Nur [24] : 30)

Ayat yang juga dituju buat perempuan yang beriman.

“Takpe, in shaa Allah saya okay”

Humaira membalas pertanyannya. Lalu memberi isyarat untuk segera beredar. Dia tidak mahu komuikasi antara mereka berdua itu menjadi fitnah pada siapa yang melihatnya, walaupun hanya satu minit.

“Baiklah. Saya minta maaf sekali lagi. Terima kasih Humaira”

Humairah sekadar mengangguk lalu pergi dengan cepat. Dia harus segera ke perpustakaan untuk menyelesaikan sebahagian tugasannya yang perlu dihantar minggu depan. Namun dia merasakan sesuatu yang aneh berlaku sebentar tadi.

Humaira?

Benarkah apa yang aku dengar?

Dia sebut nama aku?

Dia kenal aku?

Siapa dia?

Bertubi- tubi persoalan yang timbul di mindanya. Namun Humaira tiada masa untuk memikirkan hal itu dengan lama, kerana ada perkara yang lebih penting yang perlu dirisaukan.

Ah, pendrive aku tertinggal!


*********


Demi cinta yang suci
Ku rela korbankan kepentingan diri
Demi sinar bahagia
Ku hambakan diri pada-Nya yang Esa

Telefon bimbit milik Humaira memainkan lagu ‘Demi cinta yang suci’ nyanyian kumpulan nasyid UNIC, tanda ada panggilan yang masuk. Sememangnya itu lagu kegemaran Humaira dari sekolah menengah. Dia menetapkan lagu itu menjadi nada deringnya supaya dapat mengingatkannya pada cinta yang sebenar dalam Islam.

Ummi. Tertera nama buah hati Humaira di skrin telefon.

“Assalamualaikum, mai sihat?”

Alangkah gembiranya Humaira ketika itu. Dia benar benar rindu pada ibunya. Jarang sekali dia pulang ke rumah. Walhal jarak kampus dengan kampung halamannya tidak lah begitu jauh. Mungkin mengambil masa selama 1 jam 30 minit sahaja untuk sampai. Hatinya benar- benar ingin pulang ke kampung, melihat pemandangan sawah padi yang indah serta bermain dengan anak- anak kecil. Namun perjuangan di kampus masih belum selesai. Humaira sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak untuk melaksanakan amanah yang diberi oleh ummi dan walid. Boleh dikatakan dia merupakan harapan keluarga oleh sebab prestasinya dalam akademik sentiasa memuaskan.

“Waalaikumussalam, ummi. Alhamdulillah mai sihat. Mai baru nak telefon ummi, tengok tengok ummi dah call”

Humaira menjawab sambil melabuhkan punggung di atas katil.

“Biasalah. Instinct  ummi ni kuat”

“Minta maaf ummi sebab mai jarang call. Sejak kebelakangan ni mai sibuk sangat. Final pun tak lama dah”

“Takpe, ummi faham. Cuma ummi harap, mai jaga kesihatan baik baik. Jangan terlalu gigih belajar sampai lupa makan. Ibadah jangan tinggal. Jaga hubungan dengan Allah. Sebab yang memberi kita kejayaan itu Allah. Kita cuma mampu berdoa, usaha dan tawakkal. Ummi percaya kan mai”
Berkaca mata Humaira mendengar kata kata ikhlas yang terpacul keluar dari mulut ibunya. Sungguh mengharukan. Ummi terlalu banyak memberi nasihat sepanjang hidupnya. Walaupun ummi bukan lah seorang ustazah, tetapi ilmu dan akhlak ummi sangat mengagumkan Humaira. Sehingga dia ingin mengikuti contoh teladan yang diberi pada ibunya. Benarlah, anak itu ibarat kain putih. Ibu bapa yang mencorakkannya. Jika ibu bapa soleh, tidak hairanlah anaknya juga menjadi soleh disebabkan didikan yang diberi sejak kecil lagi.


*******


Humaira menilik jam. Jarum hampir menunjukkan pukul sebelas. Dia risau kerana teman sebiliknya masih tidak pulang. Humaira benar benar kenal sahabatnya. Balqis seorang yang pasif dan suka berada di bilik. Dia tak suka keluar bersosial lagi lagi pada waktu malam.

‘Mana pulak balqis ni’ Humaira berkata seorang diri.

Sambil Humaira melipat bajunya yang sudah kering siang tadi, sempat juga dia whatsapp Balqis untuk tanya tentang keberadaannya. Namun hampa, tiada sebarang respons yang diberikan. Bahkan hanya ada satu tick sahaja. Menandakan Balqis belum lagi membacanya.

‘Apa datanya sudah habis?’ keluh Humaira.

Tiba- tiba, pintu utama rumah diketuk berkali- kali. Oleh sebab teman serumahnya yang lain sedang sibuk mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi ujian pada esok hari, Humaira dengan sukarelanya bangun dan membuka pintu untuk menjemput tetamu yang datang pada lewat malam itu.

Balqis. Humaira sudah agak.

“Haa jumpa pun jalan balik. Kau pergi mana?”

“Isbir.. isbir. Sabar lah. Bagi aku masuk dulu”

Balqis meletakkan begnya di atas kerusi. Tudung bawal berwarna biru itu ditanggalnya dengan perlahan. Humaira sekadar memerhati lalu sambung dengan lipatan baju yang masih berbaki. Namun, anak matanya tetap mengekori Balqis. Terpancar keceriaan di wajah sahabatnya yang baru pulang itu.

“Mai, aku nak tanya sesuatu”

“Apa dia” Balas Humaira sambil melipat bajunya yang terakhir.

“Kau pernah dengar smart circle tak?”

“Smart.. apa?”

“Smart circle! Ada orang panggil dia usrah. Takkan tak tahu kot”

“Mana lah aku tahu. Aku bukan budak sekolah agama macam kau”

“Haa ni lah sebabnya aku balik lambat. Aku dah jumpa apa yang aku nak, dan apa yang aku cari selama ni. Tadi aku jumpa orang yang boleh bantu aku”

“Maksud kau?”

Humaira tidak faham apa yang dimaksudkan oleh sahabatnya itu. Mengelirukan. Dia benar benar tidak memahaminya.

“Aku nak masuk usrah, jom”

Balqis berkata dengan nada yang agak teruja. Humaira mendiamkan diri. Bukan kerana tidak berminat dengan ajakan Balqis, cuma dia tidak tahu apakah sebenarnya itu. Namun hatinya seakan- akan ingin mengenalinya dengan lebih lagi.

Smart circle..? Menarik!

*******

Thanks ♥