Pages

Friday, August 4, 2017

BAB 4: La tahzan, Innallaha maana



Balqis mencari- cari sesuatu. Dibukanya almari, tidak jumpa. Begnya juga digeledah, namun tetap tidak jumpa.

‘Di mana aku letak phone aku?’ rungut Balqis.

Dia benar benar lupa kali terakhir dia meletakkan telefon bimbitnya. Hendak bertanya Humaira, dia pula sedang mandi. Tiba- tiba Balqis terdengar bunyi getaran yang kuat dari arah meja Humaira. Oh ya, baru Balqis teringat. Humaira meminjam telefon bimbitnya tadi untuk mengakses maklumat mengenai subjek fundamental of management.

‘Fuh, jumpa pun. Nyanyuknya aku’

Balqis membuka telefon bimbitnya dengan segera. Terdapat banyak notification yang diterimanya. Balqis yakin bahawa Humaira tidak akan sesekali menceroboh privasinya sesuka hati. Lagipun, whatsapp Balqis juga sudah dikunci. Dalam kebanyakan pesanan whatsapp itu, Balqis tertarik dengan satu mesej yang diterima daripada seseorang yang istimewa. Mungkin biasa bagi orang lain, tetapi tidak baginya.

‘Assalamualaikum, Balqis.

Memang benar berjumpa itu salah, berdua- duaan juga salah. Tapi percayalah, tiada niat untuk saya membawa awak ke jalan yang salah. Berikan masa untuk saya berubah menjadi yang terbaik buat awak. Dengan izin Allah, saya masih berusaha untuk halalkan hubungan kita. Doakan saya.’

Balqis membacanya berulang kali. Walaupun mesej itu ringkas dan tiada emoji, ia tetap membuatkan hatinya berbunga. Inikah cinta?

“Syahirah balqis!!” Humaira menyergah dari belakang.

Balqis terkejut dengan tindakannya itu sehingga terpelanting telefon bimbitnya. Mujur telefon itu mendarat di atas katil.

“Kau buat apa ni?! Nasib baik takde sakit jantung. Kalau tak menangis kau nanti”

“Haha. Kau tu dari tadi senyum. Ada apa- apa yang menarik ke?”

“Takde apa lah. Kau nak guna phone aku lagi tak?” Balqis cuba mengelak. Dia tidak mahu Humaira mengetahui perihal dirinya dengan lelaki itu. Sudah pasti Humaira akan kecewa dengan sikapnya yang sudah jauh berubah. Bukan ini yang Balqis mahu, cuma hatinya tidak kuat untuk melawan perasaan.

“Dah settle. Terima kasih qis. Nanti aku belanja kau aiskrim milo”

Humaira memberikan senyuman yang lebar padanya. Tiada syak wasangka yang terlihat di wajah Humaira. Dia memang langsung tidak mengetahui tentang hal itu.
Maafkan aku, Humaira.


*******


Peningnya muncul lagi. Pening yang teramat. Humaira segera menelan panadol yang dibelinya tadi. Dimulakan dengan bismillah, dia memasukkan ubat ke dalam mulut lalu meneguk air mineral dengan tenang. Walaupun tidak pulih sepenuhnya, tetapi pening kepalanya itu sedikit berkurangan daripada sebelumnya.

Humaira terpandang frame gambar yang terletak di atas meja belajarnya. Ditenung dua insan yang disayanginya dalam gambar itu. Ummi dan walid. Sihatkah mereka? Hatinya berasa tidak sedap. Dia berniat untuk call umminya pada malam nanti. Humaira berharap peningnya hilang dengan segera agar dia dapat bercakap dengan umminya dengan nada yang gembira. Dia tidak mahu ummi risau akan kesihatannya itu. Cukuplah dia yang menanggungnya sendiri.

Telefon bimbitnya tiba- tiba berbunyi. Ada panggilan masuk.

‘Kak cik’ Humaira membacanya dengan jelas. Aneh juga. Jarang sekali kakaknya itu menelefonnya. Kebiasaannya dia hanya akan mesej bertanya khabar. Humaira segera menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum..” Kedengaran suara Kak Cik dari corong telefon. Nadanya seperti sedang bersedih.

“Waalaikumussalam. Kak Cik sihat? Kenapa telefon tiba- tiba ni?”

“Alhamdulillah sihat saja. Mai sibuk ke?”

“Tak lah. Kenapa ni?”

“Kak Cik nak bagitahu sesuatu. Tapi Kak Cik harap mai tabah”

“Baiklah. Mai bersedia”


*******


Humaira mengelap air matanya yang deras mengalir. Terasa sebak di dada. Sesekali dia terpandang akan katil Balqis, dia tiada di situ. Kebetulan Balqis tidur di bilik kawannya untuk menyiapkan projek mereka buat kali terakhir sebelum dibentangkan esok.

Humaira memang perlukan kawan untuk diluahkan. Tetapi buat masa itu, dia lebih pilih untuk bersendirian. Hanya Allah yang memahami jiwanya ketika itu. Dia terlalu sedih dengan apa yang berlaku.

“Walid dikerjakan ke hospital. Petang tadi ketika walid membaca buku, tiba- tiba strokenya datang. Jadi ummi call pihak hospital minta bantuan. Keadaan walid agak kritikal sekarang. Mai doakan yang terbaik ya. Maaf kerana lambat bagitahu. Jangan risau, doktor sedang berusaha menjaga walid. Kak cik dengan ummi juga ada di sini. In shaa Allah takde apa- apa. Ummi kirim salam pada mai.”

Humaira teringat kembali pada berita yang diberitahu Kak Cik beberapa jam yang lepas. Dia berasa kesal kerana tidak berada bersama keluarganya ketika waktu kecemasan sebegini. Ingin sahaja Humaira pulang ke kampung untuk berjumpa dengan walid di hospital. Namun, situasinya di sini menghalangnya. Esok ada pembentangan yang perlu dihadapi. Humaira tidak mahu menyusahkan ahli kumpulannya jika dia tiada nanti.

Hanya Allah menjadi tempat luahan. Dia percaya, Allah tidak akan sia- siakan doa hamba-Nya.
Kata Imam as- Syafi’i,

‘Doa di saat tahajjud adalah umpama panah yang tepat mengenai sasarannya’

Humaira mengesat air matanya lalu melipat sejadah. Terbayang wajah walid di mindanya. Dia benar- benar rindukan walid. Seorang yang banyak berjasa dalam mendidik dan membesarkannya sehingga menjadi seorang perempuan yang bermaruah. Betapa luluhnya hati Humaira apabila mengetahui akan keadaan insan yang disayanginya sebegitu. Moga Allah permudahkan semua urusan walid dan keluarganya. Humaira hanya mampu berdoa.

La tahzan, innallaha maana.


*******


“Yusra nak yang mana? Akak belanja” Tanya Humaira pada insan di sebelahnya. Dia berasa bersyukur kerana ada yang menemaninya pada petang itu. Sekurang- kurangnya hatinya terubat sedikit setelah bertakung air mata semalam.

“Yusra follow akak hehe”

“Saya nak omelette daging dua”

Humaira memesan makanan itu daripada pakcik Samad. Pakcik Samad membungkusnya dengan kemas lalu dimasukkan dalam plastik. Masih panas lagi.

“Jom makan di taman sana” ajak Humaira.

Mereka berdua pun duduk di satu bangku yang terletak di satu sudut di taman tersebut. Bau omelette yang baru dibuat itu benar- benar menyelerakan Yusra. Humaira seakan tahu makanan kegemaran adiknya itu. Yusra menjamahnya dengan selera.

Pada waktu petang sebegini memang ramai mahasiswa yang keluar mengambil angin. Ada yang beriadah, ada yang berjalan- jalan. Ada juga yang menikmati hidangan petang seperti mereka. Sesekali mereka terpandang dua ekor kucing yang sedang bermanja. Kelihatan seperti pasangan yang sedang mengawan. Begitulah hebatnya sunnatullah. Bukan manusia sahaja yang diciptakan berpasang- pasangan, haiwan juga begitu.

“Akak, yusra nak tanya sesuatu. Boleh?” yusra memulakan bicara setelah menghabiskan sebungkus makanan kegemarannya.

“Boleh dik. Tafadhhali”

“Emm, akak kenal abang Zaid?”

Humaira seperti mengenali nama itu. Cuma dia tidak berapa ingat bila kali terakhir dia mendengarnya.

“Siapa tu? Akak tak kenal sangat pelajar siswa di sini”

“Saya rasa akak kenal. Dia femes juga. Sekejap, saya tunjukkan gambarnya. Kawan saya yang send gambar tu pada saya. Dia minat sungguh dengan senior Zaid tu. Apa yang hensem sangat pun saya tak tahu”

Humaira geli hati mendengar omelan Yusra tentang kawannya itu. Lucu sungguh. Kemudian, Yusra menunjukkan gambar lelaki itu pada Humaira. Dia membeliakkan mata. Ini kah Zaid? Humaira mengenalinya. Dia lah yang melanggar bahunya hari itu! Lelaki yang sopan dan kemas ini. Memang menarik rupanya. Tidak hairanlah ramai perempuan yang menaruh minat padaya. Hanya yang benar- benar menjaga mata dan hati sahaja yang akan mengatakan dia tidak menarik. Termasuk yusra, mungkin dia ingin menjaga hati atau memang dia tidak berminat dengan lelaki. Dia tidak pasti.

“Oh, boleh tahan” cuma itu sahaja yang keluar dari mulut Humaira. Walhal dia hanya pandang sekali. Itu pun hanya 2 saat.

“Bukan itu yang saya nak sampaikan” Yusra menutup telefonnya lalu dimasukkan ke dalam beg.

“Habis tu apa?” Humaira bertanya kehairanan. Seperti ada perkara yang tidak dia ketahui.

“Dah banyak kali saya dengar tentang Zaid ni. Katanya dia bercinta dengan kak Balqis. Selalu nampak mereka berdua bersama. Betul ke?”

“Siapa cakap?? Tak baik tuduh bukan bukan”

“Ramai..”

Humaira beristighfar. Dia tidak percaya akan khabar itu. Mana mungkin kawan sebiliknya yang bertudung labuh, menjaga solat, rajin pergi ke majlis ilmu sanggup bercinta dengan ajnabi sehingga sanggup berjumpa. Walaupun cinta islamik sekalipun, ia tetap salah. Dan hakikatnya cinta islamik itu tidak wujud.

Hatinya tiba- tiba rasa berdebar. Mungkin benar juga. Kalau tidak, mengapa Zaid itu mengenalinya? Masakan tidak, Humaira dan Balqis sangat rapat. Ah, Humaira buntu. Dia ingin huznuzhon dengan sahabatnya, namun sering juga dia berasa curiga dengan Balqis yang selalu menghilang.

Ke mana kah dia pergi?

Benarkah khabar yang didengari itu?

Humaira diam membisu. Dia tidak tahu apa jawapan yang sesuai diberikan pada Yusra. Fikirannya ketika itu juga dipenuhi dengan persoalan. Lalu dia mengajak Yusra segera pulang ke kolej memandangkan hari menjadi semakin gelap. Yusra akur dan memahaminya.


*******


Hari sabtu. Hari yang sentiasa ditunggu- tunggu buat mahasiswa kerana tiadanya kuliah. Yusra ada mengajak Humaira untuk ke festival buku di bandar, namun dia menolaknya. Humaira ingin berehat sahaja dek kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan. Sejak kebelakangan ini pening kepalanya menjadi- jadi. Kadang dia terasa lemah untuk berjalan dengan lama. Pernah juga dia pitam ketika hendak pulang ke kolej. Kalut kawan- kawannya membantu Humaira ketika itu. Walau bagaimanapun, dia tidak bersedia untuk berjumpa dengan doktor lagi. Bagi Humaira sakitnya itu normal bagi pelajar yang sedang menuntut di universiti. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

Humaira bangun dari kerusinya lalu mengambil salah sebuah buku rakan sebiliknya itu di atas meja. Tajuknya itu menarik perhatiannya. Sudah lama dia mencari buku itu. Mujur Balqis ada membeli di kedai minggu lepas, sekurang- kurangnya duitnya tidak perlu dihabiskan lagi untuk membeli buku.

Aku Budak Dekan.

‘Patutlah Qis selalu dekan, ini rahsianya’ kata Humaira. Dia ketawa kecil.

20 minit yang lepas Humaira ada meminta izin untuk meminjam barang sahabatnya itu. Di mana keberadaan Balqis sekarang, dia tidak pasti. Kali terakhir Humaira melihatnya adalah ketika membasuh baju. Mungkin dia sedang menyidai semua bajunya di bawah. Fikir humaira.

Sedang asyik Humaira membelek- belek buku yang sederhana tebal itu, secara tidak sengaja dia terjumpa satu lipatan nota di celahnya. Nota itu kelihatan lebih menarik daripada isi kandungan buku itu. Nota apa ini? Humaira tidak mahu membukanya, tetapi hatinya seolah- olah memaksa dirinya untuk membaca isi nota tersebut. Dia mula membacanya dengan teliti. Hatinya berdebar kencang. Dalam nota itu juga terselit satu keping gambar yang dikenalinya. Humaira betul betul terkejut.

Jadi benar lah apa yang berlaku, sangkaannya selama ini tidak meleset. Balqis, apa yang kau lakukan?

Merah mata Humaira menahan air mata. Tidak cukupkah aku sebagai teman? Dia mengesat air mata lalu menyimpan nota itu kembali di celahan buku.

“Humaira, ada hanger lebih tak?” Balqis secara tiba muncul di muka pintu. Dia masih tidak tahu apa yang berlaku.

Humaira diam. Masih tidak percaya dengan apa yang dibacanya sebentar tadi. Balqis sedar akan perubahan sikap Humaira yang mengabaikan pertaannya. Dia tahu Humaira sentiasa akan melayaninya, kecuali ketika marah atau sedih.

“Mai, kenapa ni? Takkan mintak hanger pun nak marah” Balqis cuba merapati Humaira yang sedang duduk di atas kerusi membelakanginya. Sejurus sahaja dia berdiri di sebelah Humaira, Balqis ternampak Humaira sedang memegang buku berwarna hijau itu bersama dengan nota yang amat dikenalinya.

Air muka Balqis berubah.

“Kau baca?”

“Aku cuma..”
 “Tak tahu ke privacy tu apa?!”

Balqis berang secara tiba. Dia mengambil nota itu dengan kasar. Merah mukanya menahan marah. Dia amat tidak suka orang lain mencampuri hal peribadinya.

“Jadi betul lah..”

“Ya aku dengan dia”

“Aku minta maaf. Tapi kenapa kau berahsia dengan aku selama ni? Dan kau dah lupa ke nasihat yang pernah kau beri pada aku dulu. Sekarang kau pulak yang buat, apa semua ni Qis. Dah banyak fitnah yang aku dengar pasal kau”

“Diamlah. Kau takkan pernah faham”

“Sabarlah, kita kan sahabat.. aku cuma nak tolong” Humaira cuba menenangkannya.

“Sahabat apa kalau hendak menghukum. Aku dah malas nak dengar apa- apa. Kau dengan yang lain sama je”

Balqis pergi lalu menghempaskan pintu. Sungguh dia penat melayan orang yang mengatanya. Bagi Balqis, biar lah dia menjadi dirinya sendiri. Buat apa hendak hipokrit. Dia cuma bercinta, bukan buat perkara yang tidak elok. Ego menguasai dirinya.

Humaira masih berada di bilik. Dia berasa sungguh kecewa. Balqis yang ceria dan merendah diri, kini berubah menjadi seorang yang pemarah dan ego. Mungkin salah Humaira kerana teralalu mengharapkan kesempurnaan dari seorang sahabat. Dia tidak sepatutnya menghukum, malah menegurnya dengan hikmah.

Humaira teringat akan kata- kata Balqis yang diungkapkan setahun yang lalu,

“Kita ni cuma hamba biasa, tiada yang sempurna. Andai kau tersilap langkah, aku janji akan bawa kau ke jalan yang betul. Tetapi andai aku yang tersilap, jangan tinggalkan aku. Sebab mungkin aku perlukan sahabat soleh ketika itu. Sahabat yang sentiasa mengingatkan diri tentang Allah.”

Menangis, itu sahaja yang mampu dibuatnya ketika itu. Hatinya pedih dan hancur.

La tahzan.
La tahzan.
La tahzan.

Sesungguhnya Allah bersama kita.


*******



Thanks ♥